REEZAL menegaskan kem latihan pusat itu akan menggunakan pendekatan kuarantin bermula pada 1 Jun sehingga 30 Jun. FOTO Bernama
REEZAL menegaskan kem latihan pusat itu akan menggunakan pendekatan kuarantin bermula pada 1 Jun sehingga 30 Jun. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


ATLET di bawah program Road To Tokyo (RTT) kini mendapat lampu hijau untuk kembali menjalani latihan berkuatkuasa 1 Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membentangkan permohonan Cadangan Kelonggaran Khas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi program RTT dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

Kelonggaran khas itu bermakna atlet di bawah program RTT akan menjalani sesi latihan di tiga kem latihan pusat iaitu Kompleks Sukan Bukit Jalil (Bukit Jalil Sports City), Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara (ABM) dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi, Kedah.

Reezal berkata, kem latihan pusat itu akan menggunakan pendekatan kuarantin bermula pada 1 Jun sehingga 30 Jun 2020 sebagai fasa pertama dan secara berfasa sehingga berakhir tempoh PKPB atau selepas arahan pihak berkuasa mengenai aktiviti sukan dilonggarkan.

"Kesemua atlet, jurulatih, pegawai dan anggota sokongan serta pegawai perkhidmatan sains dan perubatan sukan akan ditempatkan di tiga lokasi yang sudah dikenal pasti.

"Anggaran keseluruhan yang akan terbabit di kem berkenan adalah 265 orang membabitkan 40 pegawai perubatan dan sains sukan dari ISN yang akan dipertanggungjawabkan untuk menyediakan perkhidmatan sains dan perubatan sukan yang secara langsung akan membantu latihan harian atlet Program RTT," katanya.

Sementara itu, Reezal menegaskan Jawatankuasa Perlaksanaan dianggotai oleh MSN, ISN dan Persatuan Sukan Kebangsaan berkaitan akan menyediakan Garis Panduan Standard (SOP) yang terkini termasuk mengambilkira SOP yang ditetapkan oleh pihak MKN dan KKM.

KBS juga akan menubuhkan satu Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan sendiri bagi memastikan pelaksanaan Program Kem Latihan Berpusat RTT ini dijalankan mengikut pematuhan kepada SOP yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 4:07 PM