TUNGGAKAN gaji pemain Melaka dan pegawai pasukan akan diselesaikan sebelum lebaran. FOTO Facebook Melaka United Soccer Association - MUSA
TUNGGAKAN gaji pemain Melaka dan pegawai pasukan akan diselesaikan sebelum lebaran. FOTO Facebook Melaka United Soccer Association - MUSA
Arena Metro

WALAUPUN dilanda 'gelora' kewangan agak kronik ketika ini, Persatuan Bolasepak Melaka (Musa) tetap komited mahu mengikut jejak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) apabila mereka memberi jaminan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan sejak Februari lalu akan diselesaikan sebelum lebaran.

Khabar gembira itu disahkan Naib Presiden Musa, Mohd Ashiq Abd Samad yang menjelaskan pihaknya sudah mula membayar tunggakan gaji bagi bulan Mac terlebih dahulu sebelum tunggakan April dijangka akan diselesaikan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, walaupun Musa melalui situasi agak meruncing ketika ini dengan perubahan kepimpinan selain kekurangan dana namun tetap melaksanakan tanggungjawab terbabit demi menjaga kebajikan pemain supaya menyambut Hari Raya dalam suasana gembira.

"Kami sudah mula membayar tunggakan gaji untuk Mac terlebih dahulu membabitkan pembayaran kira kira RM1 juta. Selepas ini, kami akan uruskan pembayaran untuk April kerana kami sudah mula mengenakan pemotongan gaji akibat Covid-19.

"Kami perlu selesaikan dahulu tunggakan yang berlaku sebelum Covid-19 untuk membuat pemotongan gaji pada April. Sebab itulah kami akan lunaskan tunggakan bagi Mac sebelum Hari Raya.

"Pembayaran bagi Mac sudah bermula namun ia berperingkat di mana ia dibuat mengikut pasukan Liga Super, Piala Presiden dan pasukan yang seterusnya," katanya.

Sebelum ini, pemain Melaka menyuarakan kebimbangan mengenai isu tunggakan dua bulan gaji yang dihadapi memandangkan sambutan Aidilfitri bakal menjelma tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 7:10 AM