Sharin Sapien (kiri) akui tidak sabar turun padang selepas pulih daripada kecederaan lutut.
Sharin Sapien (kiri) akui tidak sabar turun padang selepas pulih daripada kecederaan lutut.
Malik Muhamad


PEMAIN tengah Terengganu FC (TFC), Sharin Sapien akui tidak sabar selain rindu untuk menyarung jersi skuadnya selepas berehat panjang akibat masalah kecederaan serius.

Bagaimanapun pemain bertubuh kecil berusia 26 tahun itu perlu menunggu 'lampu hijau' daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada Liga Malaysia (Liga M) disambung semula atau sebaliknya selepas saingan ditangguhkan pada 16 Mac lalu susulan pandemik Covid-19.

"Sekarang saya sudah menjalani latihan di rumah selepas sembuh daripada kecederaan lutut.

"Selain turut mengayuh basikal jika ada masa terluang selepas kerajaan membenarkan sukan tanpa perhimpunan dan sentuhan bagi meningkatkan kecergasan.

"Besar harapan saya agar liga bakal disambung semula sebagaimana cadangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini yang berhasrat mahu meneruskan saingan pada 1 September depan selama sebulan.

"Lagipun kaki sudah gigil untuk menyepak bola selain sudah mulai bosan hanya melakukan latihan sendiri.

"Jika berlatih di padang, selain mengikuti program latihan yang dikendalikan jurulatih, saya juga dapat melakukan latihan tambahan dengan pemain Import dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov yang kerap berkongsi ilmu," ujar Sharin.

Musim ini bekas pemain T-Team itu belum membuat sebarang penampilan lagi bersama TFC selepas bergelut kecederaan lutut selama dua bulan.

Mengenai saingan liga yang hanya bakal bersambung pada pusingan pertama sahaja dengan berbaki tujuh perlawanan lagi, Sharin akui tidak puas kerana terlalu singkat.

"Tapi ianya lebih baik daripada dibatalkan, lagipun Piala Malaysia juga bakal diadakan, cuma saingan Piala FA perlu terima hakikat dibatalkan kerana kesuntukan masa berikutan negara berdepan dengan penularan wabak pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 4:51 PM