Mohd Shahrom Kalam. FOTO File NSTP
Mohd Shahrom Kalam. FOTO File NSTP
Mohd Amin Jalil


TEMPOH rehat kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Bersyarat (PKPB) memberi peluang kepada pemain pertahanan Negeri Sembilan, Mohd Shahrom Kalam memanfaatkan masa itu untuk mengulangkaji pelajaran.

Tonggak berpengalaman berusia 34 tahun itu sudah memasuki tahun kedua pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, di Universiti Selangor (Unisel).

"Tempoh PKP dan PKPB ini memberi masa yang lebih buat saya untuk mengulangkaji pelajaran.

"Saya perlu menggunakan masa lapang dengan baik untuk pengajian itu kerana ia juga penting untuk masa depan.

"Dalam masa sama juga, saya tetap menjalani latihan kecergasan untuk memastikan tahap kecergasan fizikal tidak terjejas apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) bersambung kembali September nanti," katanya.

Mohd Shahrom berkata, usahanya melanjutkan pengajian di universiti berkenaan sebagai langkah meningkatkan lagi ilmu dan kemahiran serta menambah pengetahuan untuk masa depan.

Menurut pemain yang baharu musim pertama bersama skuad Hobin Jang Hobin itu, dia yakin dapat menghadapi kedua-duanya iaitu bola sepak dan pengajian di Unisel, dengan baik.

"Setakat ini saya boleh menghadapi kedua-duanya dengan baik kerana pengajian di Unisel tidak perlu hadir ke kelas setiap hari, malah ketika PKP dan PKPB ini pun, tiada kelas dijalankan.

"Sebelum ini pun, kelas pengajian lebih banyak dilaksanakan melalui atas talian dan ini memudahkan saya mengikuti kursus ini dengan lancar dan sempurna.

"Tambahan pula, ketika ini tiada perlawanan Liga M dilangsungkan. Namun selepas wabak pandemik Covid-19 ini reda, saya perlu bijak membahagikan masa antara pengajian dan bola sepak," katanya.

Mengenai aksi Liga M yang dijadualkan akan bermula September depan dengan format baharu beraksi satu pusingan tanpa penonton, Mohd Shahrom berkata, ia suatu cabaran yang sukar buat skuad Rusa.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, ketika ini Negeri Sembilan berada di kedudukan terbawah carta Liga Perdana dan perlu bangkit mencatat kemenangan dalam baki tujuh perlawanan itu, jika mahu mendapatkan keputusan cemerlang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 6:01 PM