Edge (kanan) dan Kalonda calon warisan wakili Harimau Malaya.
Edge (kanan) dan Kalonda calon warisan wakili Harimau Malaya.
Firdaus Hashim


HARRY Edge dan Marcel Kalonda tidak mempunyai banyak masa apabila diberikan tempoh selama dua minggu bagi membuktikan bahawa kedua-duanya memiliki pertalian darah dengan negara ini.

Calon baharu pemain warisan itu hubungi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada minggu lalu, kini sedang berusaha menyediakan dokumen rasmi mengenai latar belakang dan sejarah keluarga masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tempoh waktu yang diberikan sehingga hujung bulan ini adalah mencukupi bagi mereka mengemukakan bukti mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

Datuk Mohd Yusoff Mahadi. FOTO File NSTP
Datuk Mohd Yusoff Mahadi. FOTO File NSTP

"Hingga sekarang kita (FAM) masih menunggu respon kedua-dua pemain pertahanan itu.

"Kita tidak mahu peminat menunggu-nunggu atau tertanya-tanya tentang kesahihan, sebab itu kita letakkan tempoh waktu supaya status mereka dapat disahkan.

"Jika benar mereka ada darah warisan dengan negara kita, maka mudah untuk kita buat langkah seterusnya seperti menguji kebolehan dan permainan mereka.

"Tapi kalau proses pertama itu pun tidak lepas (tiada pengesahan rasmi memiliki pertalian), bermakna kita boleh lupakan khidmat mereka untuk memperkuatkan skuad kebangsaan," katanya.

Sebelum ini, Edge dan Kalonda meluahkan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Malaya dengan kedua-duanya mengakui memiliki darah Malaysia.

Bapa Edge didakwa dilahirkan di Melaka dan dia kini beraksi dengan kelab Sweden, Torslanda IK dalam divisyen kedua Liga Sweden, manakala Kalonda yang bermain dengan ZESCO United dalam Liga Zambia mendakwa datuknya berasal dari Sabah.

Jelas Yusoff lagi, kedua-dua pemain ini akan menjalani proses pemilihan yang ketat sekiranya berjaya membuktikan kesahihan dokumen masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 6:23 PM