ATLET berbasikal Sukma Terengganu ceria selepas muncul juara keseluruhan temasya Sukma di Perak 2018. FOTO Syed Mohd Husaini Syed Mazlan
ATLET berbasikal Sukma Terengganu ceria selepas muncul juara keseluruhan temasya Sukma di Perak 2018. FOTO Syed Mohd Husaini Syed Mazlan
Malik Muhamad


SELEPAS dua bulan lebih 'berkampung' di kediaman masing-masing melakukan latihan kecergasan sendiri, akhirnya atlet berbasikal Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu lega apabila dapat 'berguru' di luar rumah.

Jurulatihnya, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan berkata, atlet bawah bimbingannya kini menumpukan latihan daripada segi teknikal dan taktikal kerana memerlukan masa untuk kembali bertenaga serta untuk menyesuaikan diri dengan keadaan.

Bagaimanapun beliau akui anak buahnya diberi penekanan mengenai prosedur operasi standard (SOP) ketika latihan sebagaimana yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini ketika negara masih berdepan wabak pandemik Covid-19.

"Alhamdulillah atlet kami sudah dibenarkan berlatih di luar rumah selepas kerajaan membenarkan sukan yang tidak membabitkan perhimpunan dan sentuhan.

"Namun begitu kami pecahkan antara dua hingga tiga kumpulan dan setiap kelompok tidak melebihi 10 pelatih termasuk jurulatih dengan SOP yang ketat.

"Selain itu jarak antara pelatih juga tidak kurang daripada satu meter serta tiada sentuhan antara mereka manakala latihan akan bermula pada jam 6.30 pagi selama dua hingga tiga jam sehari.

"Latihan ini penting untuk mengekalkan keaktifan mereka berkayuh selain untuk menguatkan kekuatan dalam tempoh yang lama," ujarnya.

Mengenai prestasi terkini atlet, Syed Mohd Husaini akui ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), majoriti mereka berada pada tahap 75 peratus.

"Kita mahukan prestasi mereka melebihi 80 peratus selepas ini dan fokus kita kepada kelajuan yang konsisten, selain itu ketahanan fizikal juga turut diberi penekanan memandangkan mereka sudah lama melakukan latihan sendiri di rumah.

"Mengenai sasaran pingat emas pada temasya Sukma itu nanti, kita belum mahu mengumumkan kerana ingin menilai dahulu prestasi atlet selepas ujian yang bakal diadakan, tapi saya berkeyakinan sasaran Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk meraih 12 pingat emas bakal tercapai," katanya yang bakal mempertaruhkan 24 atlet lelaki dan wanita pada temasya Sukma 2020 di Johor yang bakal berlangsung pada Mac tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 8:19 PM