KABASELE tidak fikir saingan EPL akan bersambung pada 12 Jun. FOTO AFP
KABASELE tidak fikir saingan EPL akan bersambung pada 12 Jun. FOTO AFP
AFP

PERTAHANAN Watford, Christian Kabasele berkata menyambung semula saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 12 Jun adalah sangat mustahil kerana ia bakal mendatangkan risiko kecederaan buat pemain.

Ketua EPL sudah meletakkan sasaran awal untuk memulakan kembali saingan pada pertengahan Jun dan semua kelab dibenarkan berlatih dalam kumpulan kecil minggu ini.

Bagaiamanapun, Kabasele percaya berdasarkan tempoh masa pemain tidak boleh mempunyai ruang untuk kembali pada prestasi puncak.

"Kita bercakap soal 12 Jun. Saya rasa ia sangat mustahil kerana kurang dari tiga minggu berlatih selepas dalam tempoh lama tidak berbuat apa-apa. Ia mendatangkan risiko buat kami.

"Saya tidak pasti, tidak mempunyai sebarang maklumat tapi saya rasa kita tidak akan bermula Jun ini. Paling dekat pun bagi saya ialah hujung Jun. Anda seharusnya mempunyai tempoh empat minggu untuk berlatih," katanya.

Ketua Eksekutif EPL, Richard Masters menerangkan bahawa 12 Jun adalah tarikh awal dan berkata, masih lagi ada ruang untuk diubah kerana ia belum muktamad.

Pertahanan Watford, Adrian Mariappa dan dua staf kelab berkenaan diuji positif Covid-19, sementara ketua pasukan Hornets, Troy Deeney enggan berlatih kerana gusar akan kesihatan keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 6:16 PM