CASIO (kanan) beraksi bersama Kelantan pada 2018. FOTO NSTP
CASIO (kanan) beraksi bersama Kelantan pada 2018. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


MANA satu yang betul ini?

Itu persoalan yang timbul selepas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebelum ini menafikan pihaknya memohon Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) membatalkan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung tuntutan bekas pemain importnya, Casio Francisco De Jesus.

Sebaliknya KAFA hanya meminta penangguhan atau pengurangan bayaran kepada Casio seperti mana yang diarahkan oleh pihak FIFA sebelum ini dengan jumlah RM629,620.28 dalam tempoh 30 hari yang berakhir hari ini.

Namun berdasarkan tinjauan Arena Metro mendapati KAFA sememangnya sudah menghantar rayuan ke CAS dengan tujuan memohon pembatalan terhadap keputusan FIFA itu.

Perkara berkenaan disahkan sendiri oleh peguam peribadi Casio, Zhafri Aminurashid yang turut memiliki salinan rayuan itu.

"Ia saya boleh sahkan bahawa 'based on statement of appeal' yang Kelantan hantar ke CAS, memang KAFA mohon untuk batalkan keputusan FIFA.

"Bukan sekadar nak lebih masa atau tunggu 'ground of decision'," katanya ketika dihubungi.

Lantas menerusi pengesahan itu, ia sekali gus menolak mengiyakan kenyataan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid sebelum Setiasaha Agungnya, Hussin Deraman pula menafikan kenyataan Muzakkir.

Hasil pendedahan awal dan ekslusif Arena Metro pada 7 Mei lalu, FIFA pada tanggal 23 April mengarahkan KAFA untuk melunaskan segera tunggakan gaji Casio yang hampir setengah juta dalam tempoh 30 hari.

Sekiranya skuad The Red Warriors gagal, kes berkenaan akan diheret ke Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang kemungkinan boleh dikenakan tindakan sekatan pembelian pemain, pemotongan mata dan penyingkiran daripada saingan pertandingan kompetetif seperti mana yang dilalui oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 10:20 PM