Chong Wei, bersama isteri dan dua anaknya. FOTO Lee Chong Wei
Chong Wei, bersama isteri dan dua anaknya. FOTO Lee Chong Wei
Aida Adilah Mat


BIARPUN berlainan agama, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut merasai kemeriahan Aidilfitri apabila mengimbau kembali detik keriangan satu ketika dulu.

Katanya, cuti hari raya antara hari yang paling dinanti oleh semua warga negara namun kali ini ia cukup berbeza.

Chong Wei sedar, ramai yang bersedih kerana raya tahun ini terjejas disebabkan Covid-19 namun beliau hanya boleh menasihatkan untuk semua agar bersabar.

"Kesabaran tahun ini bakal dibalas dengan kenikmatan perayaan hari raya tahun akan datang untuk anak cucu seperti mana kamu menikmati suasana raya sebelum ini.

"Saya, Mew Choo dan dua anak lelaki ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumpul sepuluh jari, meminta ampun serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang meraikannya. Seperti sukan badminton, kita restart ya…. Kosong-kosong," katanya menerusi status yang dimuat naik dalam laman sosial Facebooknya.

Chong Wei imbau kenangan lalu.
Chong Wei imbau kenangan lalu.

Mengimbau kembali kenangan berhari raya, Chong Wei berkata, zaman kanak-kanak waktu hari raya emak dan bapanya akan bawa berkunjung ke rumah terbuka saudara beragama Islam dan rumah jiran Melayu.

"Tak kisah rumah siapa, pasti ada rendang ayam, serunding, sambal sotong dan ketupat.

"Seronoknya. Ada lagi kuih batik! Aduhai, keluar air liur terfikir. Pada petang, ikut jiran Melayu main mercun. Saya ingat mercun Cina power tapi melompat saya lihat meriam mercun dia.

"Dia kata meriam dia mesti kena 'power' sebab nak jaga maruah kampung kita! Memang seronok. Itu masa dulu ya kawan-kawan, budak-budak sekarang jangan main mercun, bahaya.

"Masuk sekolah sukan, masa raya kantin akan sediakan hidangan raya istimewa. Rombongan ramai-ramai berbaju raya serbu rumah terbuka jurulatih.

"Itu semua kenangan terindah. Saya ingat masa saya belasan tahun, ada selisih faham dengan seorang pemain Indonesia. Tak pasti siapa yang betul siapa salah, tapi jumpa di gelanggang, pandang panas saja kami berdua, memang tak puas hati.

"Tiba masa raya, rakan pasukan nasihat saya hantar mesej raya kepada dia. Saya pun mesej, "Selamat Hari Raya. Macam sukan badminton, kita 'restart' kosong-kosong pak. Maaf zahir dan batin". Dari saat itu sampailah sekarang, kami masih berkawan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 6:37 PM