Pemain UiTM FC
Pemain UiTM FC
Syazwan Msar


PASUKAN pertama bertaraf Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang beraksi di Liga Super, UiTM FC boleh berbangga sebagai pasukan paling muda dalam saingan itu musim ini.

Berdasarkan pengiraan secara keseluruhan, purata umur pemain pasukan UiTM adalah 24.87 tahun diikuti Felda United FC, 26.35 tahun dan Kedah FA di tangga ketiga, 26.72 tahun.

Namun, statistik itu tidak mengejutkan ketua pasukan UiTM, Muhammad Faizal Mohd Arif, memandangkan majoriti skuad itu adalah pelajar yang juga satu perubahan drastik berbanding musim terdahulu.

Daripada empat perlawanan, skuad kendalian Frank Bernhardt itu mengutip empat mata secara keseluruhan untuk menduduki tangga kesembilan.

Pasukan itu bermula perlahan melalui dua kekalahan awal iaitu 0-2 di atas Melaka United dan 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), namun bangkit menerusi keputusan seri 1-1 berdepan Kedah sebelum meraih kemenangan sulung, 3-1 apabila bertemu PDRM.

Muhd Nashran Elias, 19, adalah pemain paling muda dalam pasukan UiTM sementara pemain paling tua pula ialah bintang import dari Lubnan, Rabih Ataya, 31.

Selain itu, Faizal berasa teruja melihat perkembangan dua liga terkemuka, iaitu Bundesliga dan K- League sudah dapat disambung di tengah krisis penularan wabak pandemik Covid-19 belum berakhir sekali gus memberikan harapan buat Liga Malaysia.

Menurutnya, jika kedua-dua liga di negara terbabit dapat dijalankan walaupun kes jangkitan Covid-19 jauh lebih tinggi berbanding Malaysia, dia berasakan tiada apa yang mustahil melihat Liga Malaysia boleh bersambung asalkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 7:46 PM