X
Bekas pemain Kelantan, Cassio Francisco De Jesus (kanan) memohon tuntutan dari Kafa. FOTO File NSTP
Bekas pemain Kelantan, Cassio Francisco De Jesus (kanan) memohon tuntutan dari Kafa. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


SEGALANYA sudah dilakukan termasuk meminta pertolongan jutawan dan menubuhkan tabung untuk mengutip derma bagi membayar bekas pemain importnya, Casio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28 yang sepatutnya diselesaikan sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Namun, segala perancangan terbabit setakat ini kurang mendapat sambutan apabila hanya mampu mengutip tidak sampai lima peratus daripada jumlah keseluruhan hutang berkenaan sekali gus Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) terpaksa menggunakan 'talian hayat' terakhir iaitu meminta belas ihsan kerajaan negeri.

Perkara terbabit disahkan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid apabila merayu kerajaan negeri membantu pasukan Kelantan FA menyelesaikan kemelut kewangan mereka yang semakin meruncing.

Beliau berkata, setakat ini tiada jalan lain untuk keluar daripada kemelut berkenaan apabila satu persatu dugaan melanda Kafa hingga tidak mampu lagi meneruskan saingan jika liga bersambung nanti.

"Kami merayu kerajaan negeri bantulah kami dalam kemelut kewangan yang meruncing ini, sayangilah Kelantan FA yang pernah menaikkan nama Kelantan sewaktu ketika dahulu.

"Kami perlukan sumber kewangan di masa pandemik Covid-19 yang mana tidak ada sumber pendapatan lagi, terbaru penaja utama After Image menarik diri oleh faktor aliran kewangannya.

"Kafa adalah milik rakyat, mereka juga turut bersedih nasib yang menimpa kami, ramai menderma namun jumlah terbabit masih lagi tidak mencukupi," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, nasib skuad Che Siti Wan Kembang bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila bekas Pengarah Urusan Team Red Warriors Sdn Bhd (TRW), Datuk Wan Rakemi Wan Zahari meletak jawatan, Khamis lalu sekali gus menyaksikan After Image Sdn Bhd turut menarik diri.

Syarikat berkenaan adalah pemegang taruh terbesar dalam TRW iaitu sebanyak 80 peratus, manakala 20 peratus milik Kafa.

Pengunduran Wan Rakemi selaku individu penting terutama dari aspek kewangan TRW jelas memburukkan lagi situasi Kafa yang kini berdepan isu tunggakan gaji bekas pemain berjumlah jutaan ringgit.

Jika Kelantan masih lagi gagal membayar tuntutan terbabit menyebabkan masa depan bola sepak di negeri pantai timur itu daripada terkubur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 9:00 PM