Stadium Shah Alam. FOTO NSTP
Stadium Shah Alam. FOTO NSTP
Syazwan Msar


STATUS dua venue 'keramat' bagi pasukan Selangor dan Petaling Jaya City (PJ City) iaitu Stadium Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hanya akan diketahui sebaik saingan liga bersambung pada September nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pemeriksaan status dua stadium berkenaan hanya dilakukan apabila mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyambung kembali aksi liga seperti yang dirancang kira-kira tiga bulan lagi.

Beliau berkata, setakat ini pemeriksaan ke atas dua venue berkenaan tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan akibat penularan Covid-19.

"MFL akan turun membuat pemeriksaan semula sebelum Liga disambung semula namun segalanya bergantung kepada KKM dan MKN sekiranya liga dibenarkan untuk disambung pada tarikh yang dirancang itu," katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan Stadium Shah Alam dan MBPJ tidak dapat digunakan pada awal saingan Liga Super berikutan kerja penambahbaikan masih lagi berjalan.

Pada perlawanan kedua Liga Super menyaksikan Selangor terpaksa menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) apabila menerima kunjungan Perak manakala PJ City pula beraksi di Stadium UiTM ketika menentang Pahang.

Malang menimpa skuad Gergasi Merah apabila SNBJ hanya dibenarkan digunakan sekali saja sebagai gelanggang tuan rumah manakala perlawanan seterusnya perlu mencari venue lain dengan kadar segera.

Selain itu, menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, kerosakan bumbung yang sebelum ini menjadi punca Red Giants dilarang beraksi di stadium keramat mereka ekoran isu keselamatan sudah diselesaikan dengan permukaan bumbung yang rosak sudah dicabut.

Katanya, selepas perbincangan bersama beberapa pihak termasuk dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), bumbung yang rosak sudah dibuka sekali gus tahap keselamatan penyokong dijamin selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 9:11 PM