AKSI GP Britain tahun lalu di Litar Silverstone. FOTO EPA
AKSI GP Britain tahun lalu di Litar Silverstone. FOTO EPA
AFP

DUA perlumbaan Grand Prix (GP) Britain mungkin akan diubah pada Ogos depan kecuali jika kerajaan United Kingdom (UK) tidak memaksa untuk melakukan kuarantin selama 14 hari, jelas Pengarah Urusan Silverstone, Stuart Pringle.

Perancangan untuk dua perlumbaan di litar England itu sedikit terganggu apabila kerajaan tidak menawarkan pengecualian kepada sukan elit itu selepas memperkenalkan peraturan kuarantin selama dua minggu kepada siapa yang menjejak kaki ke negara berkenaan bermula 8 Jun ini.

Penganjur F1 bercadang untuk memulakan perlumbaan musim ini bermula dengan GP Austria pada 5 Julai tanpa penonton, diikuti perlumbaan kedua di litar yang sama, Red Bull Ring seminggu kemudian.

Selepas itu mereka berharap Silverstone dapat menganjurkan dua lagi perlumbaan berturut-turut pada hujung minggu juga dengan tanpa kehadiran penonton.

"Kami mempunyai tarikh asal pada pertengahan Julai namun kami juga sudah perancangan kedua pada Ogos. Saya rasa ia bukan satu masalah untuk mencari tarikh sesuai untuk dua perlumbaan.

"Apa yang kami perlukan ialah lampu hijau dari kerajaan dan itu akan memakan masa. Formula Satu (F1) sebagai satu kejuaraan memerlukan pengecualian.

"Bagi Silverstone, kami boleh saja menganjurkan perlumbaan pada Ogos tapi yang penting ialah penjelasan mengenai situasi kuarantin," kata Pringle.

Jika tidak ada pengecualian, tindakan kuarantin bakal memberi impak besar kepada saingan F1 musim ini.

Tujuh daripada 10 pasukan F1 berpangkalan di England.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 10:47 AM