Atlet angkat berat kebangsaan, Nurul Afiqah (kanan) menyambut Aidilfitri secara sederhana pada tahun ini. FOTO ihsan Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri
Atlet angkat berat kebangsaan, Nurul Afiqah (kanan) menyambut Aidilfitri secara sederhana pada tahun ini. FOTO ihsan Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri
Malik Muhamad


ATLET angkat berat kebangsaan yang bakal menyarung jersi Terengganu dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 Mac tahun depan, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri akui dia kini terpaksa 'berperang' dengan pemakanan untuk mengawal berat badannya.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata, baginya agak sukar untuk mengekalkan berat badan selepas berakhirnya Ramadan apatah lagi terpaksa 'berkurung' dalam rumah mematuhi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, jika Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) membenarkan sukan angkat berat berlatih di gelanggang seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), selepas sambutan Aidilfitri, dia percaya mampu mengawal berat badannya.

"Sukan angkat berat dipertandingkan mengikut berat badan dan saya biasa beraksi dalam acara 45 kilogram (kg), jadi untuk saya mengekalkan berat badan agak sukar jika berlatih sendirian di rumah kerana tiada peralatan yang sesuai.

"Keadaan ini ditambah pula selepas Ramadan, sudah tentu nafsu makan sedikit berbeza, tapi jika sukan ini dibenarkan menjalani latihan di gelanggang, sekurang-kurangnya kami dapat berlatih secara sistematik dengan pemantauan jurulatih, Azmer A Rahman," katanya.

Sepanjang pembabitannya, gadis kelahiran kampung Teluk Ketapang, Kuala Nerus menduduki tempat keempat pada pentas Sukan SEA di Filipana tahun lalu selain meraih masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa dalam temasya Sukma.

Lebih manis rekod kebangsaan dalam acara 45 kg milik atlet dari Sabah, Fendylina Adim sudah menjadi miliknya selepas memecahnya ketika di pentas Sukan SEA Filipana dengan angkatan 59.77 kg.

Bercakap mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, anak sulung daripada tiga beradik itu akui agak sederhana dan berbeza berbanding tahun sebelumnya.

"Kali pertama beraya dalam tempoh PKPB ini sudah pasti tidak meriah kerana tidak dapat ziarah kawan-kawan dan rumah sanak saudara, tapi alhamdulillah ibu bapa, Muhammad Zamzuri Jusoh, 45 dan Aida Salleh, 41 berada di sisi bersama dua adik, jika tidak pasti saya menangis di pagi Syawal," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 2:21 PM