Syazwan Msar


BINTANG bola sepak negara yang juga tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid mengakui baru saja memiliki kenderaan mewah berharga lebih setengah juta ringgit hasil keringatnya bersama pasukan berpangkalan di selatan tanah air itu.

Enggan mendedahkan nilai sebenar kereta jenama Porsche berkenaan, Pawi berkata, gambar di laman sosial itu menjadi sumber inpirasinya untuk terus mengekalkan prestasi dan mempamerkan aksi terbaik di atas padang.

Pemain berasal dari Dungun, Terengganu itu berkata, kereta itu adalah kenderaan idaman sejak dulu lagi dan akhirnya dapat memiliki hasil daripada penat lelah bergelar pemain profesional.

"Sememangnya kereta berkenaan adalah milik saya dan alhamdulillah impian memiliki kenderaan terbabit tercapai dalam usia muda.

"Terima kasih diucapkan kepada pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak membantu memberi dorongan dan semangat untuk terus berjaya. Kejayaan yang selama ini dikecapi adalah hasil daripada sokongan daripada semua pihak termasuk keluarga yang sentiasa bersama saya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, menerusi tinjauan harga kereta berkenaan di laman sosial jual beli kenderaan mendapati Porsche milik Safawi sekitar RM515,000 sehingga RM612,000.

Meskipun tidak begitu jelas mengenai model kereta terbabit, namun dipercayai kereta baharu Safawi itu adalah Porsche Cayman 987 yang mana ia adalah Porsche Cayman daripada dua generasi terdahulu.

Terdahulu menerusi laman Instagramnya, penyerang kebangsaan itu berkesempatan berkongsi 'jentera mewah' dipercayai kereta baharunya sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada peminatnya.

Dalam ucapan ringkasnya, pemain berusia 23 tahun itu sempat memberi peringatan supaya dapat terus menjaga diri ketika pandemik Covid-19 masih lagi melanda negara ini. Malah, hantaran terbabit turut mendapat perhatian Tunku Ismail yang meninggalkan komen beliau. "Hebat Anak Terengganu. Sentiasa bersyukur dan kerja keras," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 5:42 PM