KERETA McLaren 720S menjalani pemeriksaan akhir di kilang yang terletak di Woking, barat London. FOTO AFP
KERETA McLaren 720S menjalani pemeriksaan akhir di kilang yang terletak di Woking, barat London. FOTO AFP
Agensi

PEMBUAT kereta supercar UK dan pasukan Formula 1 McLaren merancang mengurangkan lebih daripada suku tenaga kerjanya selepas krisis koronavirus menjejaskan pendapatan hasil jualan dan periklanan.

Syarikat itu mempunyai 4,000 pekerja dan 1,200 daripadanya bakal ditamatkan perkhidmatan dengan majoriti berpusat di UK.

Perlumbaan Formula 1 telah digantung manakala tempahan untuk kereta supercar McLaren merosot dengan drastik kerana pandemik.

McLaren berkata, syarikat itu terjejas teruk akibat krisis dan mereka telah bekerja keras untuk mengurangkan kos dan mengelakkan pembuangan pekerja.

"Tetapi sekarang kami tiada pilihan dan terpaksa mengurangkan saiz tenaga kerja," kata Pengerusi McLaren, Paul Walsh dalam satu kenyataan hari ini.

"Kami kini berdepan detik mencabar terutamanya kepada para pekerja tetapi kami merancang untuk lebih berkesan, perniagaan yang berdaya saing dengan arah tuju lebih jelas selain memulihkan ekonomi syarikat."

Pembuat kereta untuk perlumbaan dan kegunaan di atas jalan raya itu beroperasi di Woking, Surrey selain memiliki pusat teknologi komposit di Sheffield.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 11:55 PM