KVITOVA tidak dapat sembunyikan kekecewaan selepas mengetahui Wimbledon dibatalkan. FOTO AFP
KVITOVA tidak dapat sembunyikan kekecewaan selepas mengetahui Wimbledon dibatalkan. FOTO AFP
AFP

JUARA Wimbledon dua kali, Petra Kvitova berkata semalam, dia sangat kecewa selepas mendengar berita mengenai kejohanan kegemarannya itu dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

"Daripada semua kejohanan yang dibatalkan, berita mengenai Wimbledon adalah paling mengecewakan buat saya.

"Saya tidak berkata saya menangis apabila mendengarnya tapi sangat kecewa pada hari berkenaan. Saya rasa sebabnya adalah jelas," kata pemain berusia 30 tahun itu, yang muncul juara di gelanggang rumput berkenaan pada 2011 dan 2014.

Penganjur membatakan kejohanan Grand Slam itu pada 1 April lalu dan ia adalah kali pertama berlaku sejak Perang Dunia Kedua.

"Saya akan merindui suasana kejohanan, selain pengalaman dan kenangan tahun lalu.

"Saya sentiasa suka jika kembali ke Wimbledon kerana saya berasa istimewa di sana. Bagi saya ia adalah kejohanan paling penting dan hebat," kata seorang lagi pemain kelahiran Czech, Barbora Strycova.

Kvitova dan Strycova ditemui ketika beraksi di all-Czech tournament di Prague, di mana lapan pemain lelaki dan lapan pemain wanita bermain tanpa kehadiran penonton dan mengenakan langkah-langkah ketat untuk menghalang penularan virus berkenaan.

Kebersihan menjadi aspek utama di kejohanan itu dengan tidak ada siapa dibenarkan menghulurkan tuala kepada pemain dan pemain juga perlu memakai topeng muka ketika menghadiri sidang media.

Pengutip bola juga diwajibkan memakai sarung tangan, berikutan pemain berkongsi set bola yang sama.

Jika sebelum ini mereka bersalaman selepas tamat perlawanan, kini mereka hanya perlu melagakan raket bagi mengelak jangkitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 12:21 PM