X
Cassio Francisco De Jesus (kanan) berunding dengan Kafa. FOTO File NSTP
Cassio Francisco De Jesus (kanan) berunding dengan Kafa. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (Kafa) boleh menarik nafas lega apabila bekas pemain importnya Cassio Francisco de Jesus bersetuju membuka pintu rundingan berkaitan tuntutan tunggakan gaji RM629,620.28.

Namun, rundingan terbabit bersyarat apabila perlu menjalani proses mediasi di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi memastikan hak pemain itu terjaga dan tidak timbul masalah di kemudian hari.

Peguam kepada Cassio, Zhafri Aminurashid berkata, rundingan itu perlu dilakukan jika Kafa mahu peluang kedua dan mengelak persatuan itu daripada sekadar 'berjanji mulut' semata-mata.

"Mediasi ini adalah perbincangan antara kedua-dua pihak untuk mendapatkan persetujuan bersama. Selepas bersetuju, CAS akan beri perintah persetujuan dan kalau mediasi dilakukan, rayuan Kafa akan dibatalkan.

"Kita sedang menunggu cadangan penyelesaian daripada Kafa. Tetapi saya cadangkan untuk adakan mediasi di CAS supaya sekurang-kurangnya ada persetujuan bertulis nanti.

"Jadi apabila ada persetujuan bertulis sebagai formaliti demi kepentingan pemain, Kafa perlu patuhi persetujuan itu selaras dengan perintah CAS. Ini juga bagi memastikan supaya mereka serius untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Arena Metro melaporkan ketika tempoh pembayaran Kafa berkaitan tunggakan gaji Cassio Francisco de Jesus yang berakhir 23 Mei lalu, CAS tampil 'menyelamatkan' badan induk bola sepak negeri itu untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, CAS memberi tempoh lanjutan itu bermula pada 22 Mei lalu selepas wujudnya peruntukan khas di merangkumi tempoh masa untuk memfailkan dokumen akibat pandemik Covid-19.

"Lanjutan masa ini memberi tempoh yang lebih panjang kepada Kafa dalam persediaan kes rayuan terbabit.

"Ini juga satu perkembangan positif untuk Kafa dalam mencari jalan penyelesaian di samping mengaktifkan tabung derma atas talian bagi menyelamatkan bola sepak Kelantan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 8:36 PM