SAFAWI (kiri) bukan bertaraf dunia. FOTO NSTP
SAFAWI (kiri) bukan bertaraf dunia. FOTO NSTP
Oleh Syazwan Msar


JAUH panggang dari api. Perumpamaan itu sesuai untuk menggambarkan peluang bintang bola sepak negara, Safawi Rasid dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan jika masih gagal membawa skuad Harimau Malaya ke Piala Dunia atau Sukan Olimpik.

Malah, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, ranking terkini skuad Harimau Malaya di kedudukan 154 dunia tidak membantu tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu untuk memperoleh pengiktirafan berkenaan.

Beliau berkata, walaupun Safawi memenangi pelbagai anugerah di peringkat persatuan dan dalam negara, namun kejayaan itu bukan bertaraf dunia seperti yang diperoleh pemenang anugerah olahragawan negera sebelum ini.

Zolkples yang pernah menganggotai panel pemilihan olahragawan berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak yakin dengan kemampuan pemain mereka untuk memenangi anugerah berkenaan apabila tidak menghantar penyertaan untuk tempoh lama.

"Anugerah Olahragawan Negara sangat berprestij sehinggakan ada ketika tiada pemenang kerana tiada yang layak atau tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

"Jika mahu tercalon sebagai Olahragawan Negara, bawa pasukan Harimau Malaya ke Piala Dunia atau Sukan Olimpik dan bukannya hanya mampu cipta kejayaan di peringkat Asia Tenggara.

"Sukan yang menuntut kerjasama berpasukan seperti bola sepak dan hoki sememangnya sukar untuk memperoleh kejayaan di peringkat tertinggi seterusnya tercalon sebagai Olahragawan Negara, namun semua itu bukanlah mustahil untuk dilakukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan selepas kali terakhir gelaran Olahragawan Kebangsaan diberikan kepada sukan bola sepak pada 1976 dan 1977, sudah tiba masanya anugerah tertinggi buat ahli sukan negara itu dianugerahkan kembali kepada pemain bola sepak tempatan.

Berdasarkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun lalu, sudah tentu Safawi perlu diberi peluang untuk dinobatkan sebagai atlet terbaik negara dengan kejayaan paling gemilang muncul Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK).

Malah, dia turut dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia di samping beberapa kali menjaringkan gol kemenangan buat skuad negara di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, Zolkples berkata, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Shukor Salleh pernah memenangi anugerah berkenaan pada pertengahan 1970-an disebabkan kedua-duanya membawa pasukan negara ke Sukan Olimpik.

"Jadinya, pemain Harimau Malaya perlu menyahut cabaran untuk terus berusaha membawa kejayaan di peringkat lebih tinggi untuk tempoh akan datang.

"Namun, pada masa ini, anugerah Olahragawan Negara belum layak untuk mereka walaupun meraih pelbagai pencapaian individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:00 AM