Aksi Shevon Lai (kiri) dan pasangan beregunya Goh Soon Huat . FOTO File NSTP
Aksi Shevon Lai (kiri) dan pasangan beregunya Goh Soon Huat . FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain beregu campuran negara, Shevon Lai kini menerima rawatan di hospital selepas menghidap demam denggi.

"Shevon Lai kini dirawat di hospital selepas didiagnosis menghidapi demam denggi.

"Pemain berusia 27 tahun itu dijangka akan diketepikan selama dua minggu dan hanya akan menyertai kem latihan Road To Tokyo (RTT) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara sebaik sembuh sepenuhnya," kata BAM dalam satu kenyataan.

Shevon yang bergandingan dengan Goh Soon Huat, masih berpeluang layak ke Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan.

Dia adalah antara atlet yang terbabit dengan program RTT yang dijadual bermula 1 Jun ini di BAM.

Kerajaan membenarkan program RTT fasa pertama dilangsungkan bermula 1 Jun untuk atlet di ABM dan pusat latihan perahu layar kebangsaan di Langkawi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Manakala atlet yang terbabit di pusat latihan di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil hanya dibenarkan untuk melapor diri bermula 8 Jun kerana Casa 1 yang digunakan sebagai penginapan rasmi perlu menjalani proses nyahkuman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 7:48 PM