LIVERPOOL semakin hampir menamatkan kemarau kejuaraan liga. FOTO AFP
LIVERPOOL semakin hampir menamatkan kemarau kejuaraan liga. FOTO AFP
AFP

KELAB Liga Perdana bersetuju memulakan kembali musim 2019/20 pada 17 Jun tetapi perlu mematuhi semua garis panduan kesihatan bagi mencegah penularan koronavirus.

Aston Villa menentang Sheffield United dan Manchester City bertemu Arsenal pada tarikh tersebut disusuli jadual penuh perlawanan pada 19-21 Jun, menurut kenyataan kelab awal pagi tadi.

Aksi terakhir Liga Perdana sebelum ini ialah Leicester menentang Aston Villa pada 9 Mac sebelum bola sepak profesional Inggeris dihentikan empat hari kemudian.

Pemegang saham Liga Perdana turut meluluskan cadangan untuk menyiarkan secara langsung 92 baki perlawanan di Britain termasuk beberapa perlawanan di BBC.

Waktu sepak mula turut berbeza daripada masa tradisi sebelum ini.

"Hari ini kami setuju menyambung kembali Liga Perdana pada Rabu 17 Jun," kata Ketua Eksekutif Liga Perdana, Richard Masters.

"Tetapi tarikh itu tidak boleh disahkan sehingga kami mematuhi semua garis panduan ditetapkan demi kesihatan dan kebajikan pemain dan penyokong.

"Bagaimanapun, agak sedih perlawanan bakal berlangsung dalam stadium kosong, jadi kami memberi solusi positif kepada penyokong menyaksikan baki 92 perlawanan di rumah ."

Liverpool mendahului 25 mata di puncak liga manakala Bournemouth, Aston Villa dan Norwich City menghuni zon penyingkiran.

Pendahulu akan mengesahkan kejuaraan mereka jika menang perlawanan pertama dengan syarat pasukan di tangga kedua, Manchester City tewas kepada Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 7:40 AM