Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman
Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman
Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (Kafa) tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah Urusan Team Red Warriors Sdn Bhd (TRWSB), Datuk Wan Rakemi Wan Zahari.

Wan Rakemi bertindak meletak jawatan ketika pasukan Pantai Timur berkenaan berada dalam situasi sukar akibat masalah hutang.

Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman memaklumkan pihaknya tidak sempat menandatangani perjanjian bersama di antara kedua-dua pihak sebelum aksi liga ditunda akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu mengambil tindakan undang-undang namun akan berbincang bersama Wan Rakemi bagi mendapatkan persetujuan bersama untuk beberapa isu berbangkit.

Kafa perlu membayar tunggakan gaji Cassio Francisco de Jesus berjumlah lebih RM600,000 dan jika gagal berbuat demikian boleh dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Lebih memburukkan keadaan lagi, Wan Rakemi meletakkan jawatannya sebagai Pengarah Urusan TRWSB sekali gus sukar untuk mendapatkan dana bagi pasukan terbabit.

Sementara itu, Hussin berkata, setakat ini tiada individu atau syarikat yang berminat untuk mengambil alih atau menerajui TRWSB bagi menguruskan Kelantan.

Setakat ini jumlah terkumpul tabung selamatkan Kelantan tidak sampai RM20,000 namun pihaknya tetap berusaha merealisasikan matlamat untuk mengumpul dana membayar tuntutan Casio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 6:10 PM