Khalid Jamlus
Khalid Jamlus
Syazwan Msar


KEHIDUPAN mewah yang dinikmati sekali seumur hidup ketika kemuncak karier perlu dimanfaatkan sebaik mungkin pemain bola sepak supaya tidak mengemis di kemudian hari.

Itu peringatan pemenang kasut emas 2002, Khalid Jamlus supaya pemain bola sepak sentiasa berhati-hati ketika mengecapi kemewahan seterusnya tidak tunduk kepada nafsu untuk berbelanja secara boros.

Khalid yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, dia pernah melalui situasi berada di puncak karier dengan mendapat pelbagai imbuhan sekali gus memahami kehendak pemain bola sepak yang ingin bergaya dan berbelanja secara mewah.

"Peringatan saya hanyalah satu iaitu kita merasai kemewahan sekali saja sebagai pemain bola sepak, namun jika tersilap langkah dan tidak beringat sudah pasti akan hanyut.

"Ketika ini, kebanyakan pemain bola sepak bergaji besar dan itu adalah rezeki masing-masing dan tidak perlu dipersoalkan oleh pihak tertentu.

"Cuma sebagai individu yang pernah berada di situasi berkenaan, pemain perlulah merancang masa depan berbelanja secara berhemah dan beli apa yang perlu saja," katanya, ketika dihubungi Arena Metro, di sini.

Khalid yang ketika zaman kegemilangannya menyarung jersi dua pasukan gergasi iaitu Perak dan Selangor turut menasihatkan pemain bola sepak berbelanja untuk perkara berfaedah terutama membabitkan aset dan pelaburan sebagai persediaan usia tua.

"Karier pemain bola sepak hanya boleh bertahan sehingga usia 35 tahun dan selepas itu akan suram atau lebih buruk tidak lagi mendapat tempat dalam pasukan utama.

"Oleh itu, bersiap sedialah menghadapi situasi berkenaan kerana jika tidak melakukan persediaan awal sudah pasti menyesal di kemudian hari," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan trend terkini pemain bola sepak tempatan yang menayang kenderaan mewah di laman sosial masing-masing seterusnya menarik perhatian netizen terhadap tindakan terbabit.

Tonggak JDT Safawi mula mencuri tumpuan apabila menayang kereta Porsche Cayman 987 berharga lebih RM600,000 sebelum disusuli pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh yang berbuat demikian dengan bergambar bersama Mercedes A-Class hatchback.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 6:00 AM