LIONEL Messi (tengah) dan rakan sepasukan Barcelona berlatih di Ciutat Esportiva Joan Gamper. - FOTO AFP
LIONEL Messi (tengah) dan rakan sepasukan Barcelona berlatih di Ciutat Esportiva Joan Gamper. - FOTO AFP
AFP

LIGA Sepanyol kembali bersambung pada 11 Jun selepas tiga bulan terhenti akibat Covid-19 dengan aksi 'derby' Seville menjadi pembuka tirai manakala musim 2020-2021 bermula 12 September, menurut Majlis Sukan Sepanyol awal pagi tadi.

Kenyataan itu menyebut Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) dan La Liga bersetuju dengan format baki 11 pusingan dalam dua divisyen utama manakala saingan musim perlu ditamatkan sebelum 19 Julai bergantung kepada situasi terkini pandemik.

Perlawanan pertama berlangsung pada Khamis 11 Jun membabitkan Betis menentang Sevilla dan pasukan lain pada 13 dan 14 Jun.

Semalam, presiden liga, Javier Tebas berkata: "Apa yang penting ialah tarikh akhir musim 2019-20 dan musim baharu bermula 12 September."

Kerajaan Sepanyol minggu lalu memberi lampu hijau kepada La Liga untuk kembali bersambung bermula 8 Jun.

"Lebih 130 orang bekerja sekarang ini, jadi semuanya boleh dilakukan dengan format baharu: perjalanan, penganjuran dan apa sahaja," kata Tebas.

Bundesliga Jerman sudah beraksi tiga pusingan selepas bemula awal bulan ini manakala Liga Perdana Inggeris dan Serie A Itali bakal bersambung pertengahan Jun.

Tetapi liga utama di Perancis, Belgium dan Belanda sudah pun berakhir.

Barcelona mendahului Real Madrid dua mata di puncak carta sebelum saingan La Liga terhenti pada Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 7:32 AM