KLOPP sedia rai kejayaan Liverpool di venue berkecuali. FOTO Agensi
KLOPP sedia rai kejayaan Liverpool di venue berkecuali. FOTO Agensi
Agensi

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan beliau tidak kisah jika The Reds menjulang trofi Liga Perdana di luar Anfield.

Beberapa perlawanan dijangka berlangsung di venue berkecuali bagi memenuhi syarat 'Project Restart' dan penyambungan kembali liga bermula 17 Jun.

Semua aksi berlangsung dalam stadium tertutup bermakna Reds tidak dapat meraikan kejuaraan bersama penyokong mereka.

Tetapi spekulasi terkini memberi bayangan Liverpool mungkin juga tidak dapat menjulang trofi di Anfield apabila baki perlawanan mereka di venue berkecuali bagi mengelakkan kehadiran penonton.

Bagaimanapun, Klopp menegaskan ia tetap bakal menjadi hari paling indah buat Liverpool yang semakin pasti menamatkan kemarau kejuaraan liga dalam tempoh 30 tahun walaupun bukan di Anfield.

"Bagi saya, walaupun dalam stadium kosong, kami tetap diiringi doa dan semangat daripada semua peminat di seluruh dunia, jadi ia akan menjadi detik indah dalam hidup saya," kata pengendali dari Jerman itu kepada beIN Sports.

"Bila dan di mana saya tak tahu, kami berharap dapat raikan di Anfield tetapi ia tidak penting."

Klopp masih berharap perlawanan dapat berlangsung di venue mereka dan menggesa penyokong kekal di rumah ketika meraikan kejayaan Reds.

"Saya dengar kami mempunyai penyokong tuan rumah terbaik di dunia dan sekarang kami perlukan penyokong tinggal di rumah yang terbaik di dunia."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 8:44 AM