CHUKWUEZE menyerlah di La Liga. FOTO Agensi
CHUKWUEZE menyerlah di La Liga. FOTO Agensi
Agensi

CHELSEA mungkin mengalih tumpuan kepada Samu Chukwueze dalam misi mereka memburu sayap baharu pada musim panas, menurut laporan.

Blues sebelum ini berharap dapat membawa Jadon Sancho dari Borussia Dortmund tetapi selepas BVB enggan menurunkan harga, kelab barat London tampak menyerah kalah untuk menandatangani pemain muda paling berbakat berusia 20 tahun itu.

Dengan Manchester United kini kelab pilihan membeli Sancho, Blues terpaksa menimbang pilihan lain dan menurut laporan Goal, tonggak Villarreal, Chukwueze paling mendapat perhatian mereka.

Pemain berusia 21 tahun itu mula mencuri tumpuan dalam La Liga selepas diserap masuk dari Akademi Kapal Selam Kuning kelab.

Chukwueze kerap mendatangkan masalah kepada pertahanan lawan menerusi kemahiran individu walaupun penyudahnya perlu digilap lagi. Dia juga mencipta empat bantuan gol selain empat kali meledak gawang lawan musim ini.

Perpindahan ke Chelsea mungkin menjadi langkah tepat kepada pemain muda Nigeria itu.

Jurulatih, Frank Lampard dipercayai mahu mencari penyerang lebih terbuka terutamanya dengan kontrak Willian dan Pedro yang tamat tidak lama lagi.

Blues masih mempunyai pemain muda seperti Christian Pulisic dan Callum Hudson-Odoi selain Hakim Ziyech yang bakal menyertai Chelsea tetapi mahu lebih banyak pilihan.

Bintang Crystal Palace, Wilfried Zaha turut dinamakan tetapi harga £80 juta ditetapkan Eagles tidak dapat dipenuhi Chelsea.

Satu lagi pilihan ialah pemain Porto, Jesus Corona dengan ejen pemain Mexico itu, Matias Bunge mengesahkan kepada Medio Tiempo bahawa Blues ada menghubungi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 10:18 AM