SKUAD Hockademy wanita sepatutnya menerima hadiah RM65,000 selepas muncul juara liga wanita dan naib juara Piala Vivian Soars. FOTO Owee Ah Chun
SKUAD Hockademy wanita sepatutnya menerima hadiah RM65,000 selepas muncul juara liga wanita dan naib juara Piala Vivian Soars. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


"TOLONG jangan bagi alasan," itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Hockademy berhubung isu pembayaran wang kemenangan yang sepatutnya diterima oleh mereka daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Hockademy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan nyata berang dengan jawapan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, Datuk Seri Anil Jeet Singh.

Hockademy menyatakan pihak MHC dengan sengaja melengah-melengahkan pembayaran hadiah wang kemenangan TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) 2020 tanpa alasan yang kukuh apabila mengambil pendekatan untuk menganggap setiap pasukan yang terbabit tidak menghiraukan soal cepat atau lambat pembayaran itu dibuat.

Pihak Hockademy melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh MHC itu sebagai tidak bertanggungjawab dan secara tidak langsung memberi gambaran bahawa badan induk itu memandang remeh serta tidak mementingkan kebajikan pemain hoki tempatan yang menjadi nadi kepada sukan hoki negara.

"Wang kemenangan adalah hak pemain tidak kira daripada pasukan mana sekalipun dan wajar dituntut.

"Ingin kami tegaskan bahawa hadiah kemenangan itu perlu dilunaskan dengan kadar segera tanpa memperjudikan nasib pemain.

"Sekiranya MHC masih belum menerima wang penajaan, kami ingin sarankan supaya pihak pengurusan MHC mendahulukan wang sendiri demi kebajikan pemain," kata kenyataan itu.

Jumlah yang sepatutnya diterima oleh Hockademy adalah RM65,000 selepas muncul juara liga wanita dan naib juara Piala Vivian Soars.

Pihak MHC sebelum ini memaklumkan bahawa pandemik Covid-19 antara punca kepada kelewatan untuk membayar hadiah kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 5:24 PM