FAZLY (tengah) akui kualitinya semakin meningkat apabila beraksi di Liga Super. FOTO Ihsan Facebook Pahang FA
FAZLY (tengah) akui kualitinya semakin meningkat apabila beraksi di Liga Super. FOTO Ihsan Facebook Pahang FA


PEMAIN pertahanan Pahang, Fazly Mazlan mengakui saingan Liga Super membantunya meningkatkan prestasi dan keyakinan diri sebaik kembali beraksi di liga itu musim ini.

Tidak hairanlah, pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu berterima kasih di atas sokongan yang diberikan dalam usaha membantu memperkasakan jentera skuad Tok Gajah musim ini.

"Saya akui saingan Liga Super memang berada pada kelasnya tersendiri berbanding Liga Perdana.

"Sebaik diberi peluang untuk menyarung jersi Pahang musim ini, saya gembira kerana bukan sahaja dapat bermain dengan sebuah pasukan yang bagus tetapi kembali beraksi dalam saingan Liga Super.

"Namun, kerjasama yang diberikan rakan sepasukan juga banyak membantu meningkat kualiti permainan terutama mengukuhkan benteng skuad Tok Gajah," katanya.

Musim lalu, Fazly beraksi bersama JDT II sebelum pengurusan kelab berkenaan membuat keputusan menawarkan secara pinjaman kepada Pahang musim 2020.

Selain Fazly, rakan sepasukan dari JDT II iaitu S Kumaahran juga dipinjamkan untuk bersama skuad kendalian Dollah Salleh itu.

Mengulas sesi latihan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dia tetap menjalani latihan seperti yang diarahkan.

"Saya harap kami dapat kembali bersama menjalani latihan terutama meningkatkan lagi tahap kecergasan sebagai persediaan sebaik liga bersambung nanti," katanya.

Selepas empat perlawanan Liga Super, Fazly diberi tanggungjawab mengukuhkan jentera pertahanan di sebelah kiri ketika Pahang bertemu PJ City, Sabah dan Melaka United.

Fazly diberi peranan berikutan kecederaan yamg dialami Mohd Faisal Rosli dan ternyata berjaya mempamerkan prestasi seperti yang diinginkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 4:27 PM