SEVILLA, Betis seteru yang akan meyambung aksi La Liga musim ini. FOTO Agensi
SEVILLA, Betis seteru yang akan meyambung aksi La Liga musim ini. FOTO Agensi
AFP

SAINGAN utama liga Sepanyol akan bersambung kembali 11 Jun dengan aksi sejiran antara Sevilla dan Real Betis menjadi perlawanan pembukaan.

Perkara itu disahkan oleh La Liga dengan menegaskan pusingan pertama perlawanan selepas penangguhan Covid-19 akan berlangsung selama empat hari, dengan pendahulu Barcelona bakal berdepan Mallorca pada 13 Jun dan Real Madrid menanti kunjungan Eibar sehari selepas itu.

Perlawanan seterusnnya akan bersambung dari Isnin (15 Jun) hingga Khamis (18 Jun).

Barcelona akan menjadi tuan rumah ketika berdepan Leganes pada 16 Jun, sementara Real akan menentang Valencia dua hari kemudian.

Majlis Sukan Sepanyol mengeluarkan kenyataan Jumaat lalu bahawa Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) dan La Liga bersetuju dengan format bagi 11 baki pusingan membabitkan dua saingan utama di negara berkenaan.

La Liga berkata, saingan musim ini mampu dilengkapkan pada 19 Julai.

"Kami mahu saingan musim depan bermula pada 12 September. Kami sudah menyiapkan jadual bagi membolehkan setiap pasukan berehat selama 72 jam selepas tamat perlawanan.

"Kami akan mengemaskini jadual dua perlawanan dalam satu masa, selain berpandukan kepada keadaan cuaca, yang boleh diketahui dua minggu awal," kata Presiden La Liga, Javier Tebas.

Barcelona mendahului Real dengan kelebihan dua mata untuk berada di puncak liga sebelum saingan ditangguhkan Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 2:43 PM