LEWIS Hamilton muncul juara di Litar Silverstone musim lalu. FOTO EPA
LEWIS Hamilton muncul juara di Litar Silverstone musim lalu. FOTO EPA
AFP

LITAR Silvertsone dibenarkan untuk mengadakan dua perlumbaan Formula Satu (F1) berturut-turut walaupun kerajaan Britain merancang memperkenalkan tempoh kuarantin.

Menurut BBC, mereka yang terbabit dalam sukan elit itu akan diberikan pengecualian oleh kerajaan daripada peraturan dikenakan kepada semua penumpang antarabangsa bagi menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik tiba di United Kingdom (UK).

Ia membolehkan Litar Silverstone, yang sudah lama menjadi tuan rumah kepada Grand Prix (GP) British untuk mengadakan dua perlumbaan, yang dipercayai akan dijadualkan pada 2 dan 9 Ogos.

"Kami menyambut baik usaha kerajaan untuk memastikan sukan elit ini terus beroperasi menerusi sokongan untuk kami kembali beraksi.

"Dialog tertutup akan diadakan bersama mereka pada minggu-minggu akan datang ketika kami bersedia memulakan saingan musim ini pada minggu pertama Julai," kata seorang jurucakap F1 kepada BBC.

Musim F1 masih belum berlangsung pada 2020 dengan 10 perlumbaan setakat ini sudah dibatalkan atau ditunda.

Kejuaraan berkenaan akan bermula dengan dua perlumbaan di Austria pada 5 dan 12 Julai, manakala perlumbaan berikutnya dijadualkan di Hungary pada 19 Julai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 3:09 PM