Brad Maloney (tengah) memberi arahan kepada pemainnya.
Brad Maloney (tengah) memberi arahan kepada pemainnya.
Firdaus Hashim


SALAH satu daripada empat buat negara Asia Tengah bakal dijadikan lokasi latihan skuad bawah 19 tahun negara (B-19) sebagai persediaan menjelang sepak mula pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober depan.

Antara negara yang dicadangkan sendiri oleh pengendalinya, Brad Maloney adalah sama ada Kazakhstan, Kyrgyzstan, Turkmenistan atau Tajikistan yang mempunyai iklim sama seperti di Uzbekistan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pemilihan lokasi itu adalah bertujuan untuk membiasakan pemain muda negara dengan cuaca sejuk di zon berkenaan.

Bagaimanapun, perancangan itu masih diperhalusi oleh badan induk itu selain ia harus mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ekoran krisis pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

"Maloney ada mencadangkan untuk diadakan latihan di negara-negara berdekatan Uzbekistan sama ada sebulan atau dua bulan sebelum kejohanan sebagai persediaan pasukan B-19.

"Tapi perancangan itu bergantung dengan keputusan MKN dan kita sedang berusaha ke arah itu. Sekiranya dibenarkan, kita juga perlu mendapatkan keizinan negara itu pula" katanya.

Skuad negara yang mara ke pusingan akhir selepas menjuarai peringkat kelayakan Kumpulan G bakal diletakkan dalam balang 3 bersama-sama Iraq, Vietnam dan Kemboja di mana majlis undian akan dilangsungkan pada 18 Jun ini.

Kedudukan itu sudah pastinya meletakkan Malaysia dalam situasi bahaya apabila kemungkinan bakal berada sekumpulan dengan gergasi Asia seperti Arab Saudi, Korea Selatan, Qatar, Uzbekistan, Jepun atau Australia yang masing-masing diletakkan dalam balang 1 dan 2.

Sementara itu, Stuart turut mengingatkan agar semua pasukan dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia membayar 25 peratus daripada jumlah baki kontrak yang ada sebagai pembayaran ex-gratia (pampasan/ganti rugi) kepada pemain dan pegawai pasukan.

Arahan itu selaras dengan Akta Kontrak 1950 bagi menjamin kebajikan dan hak pemain serta pegawai yang kehilangan mata pencarian susulan pembatalan pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia oleh FAM musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 11:01 PM