TERBUKA Perancis hilang seri jika diadakan tanpa kehadiran penonton. FOTO AFP
TERBUKA Perancis hilang seri jika diadakan tanpa kehadiran penonton. FOTO AFP
AFP

PRESIDEN Persekutuan Tenis Perancis, Bernard Giudicelli mahu penonton memenuhi stadium menyaksikan Terbuka Perancis namun mengakui hanya pihak kerajaan dapat membuat keputusan sama ada saingan yang ditunda sebelum ini dibuka kepada orang ramai.

Kejohanan Grand Slam tanah liat itu, jika mengikut jadual asal sudah memasuki minggu kedua, ditangguhkan selama empat bulan kerana Covid-19.

Tiket yang sudah dibeli peminat sudah pun diganti semula berbanding dipulangkan kembali wang, sekali gus menimbulkan kegusaran, kejohanan pada 20 September itu dijalankan secara tertutup tanpa penonton.

"Pilihan yang lebih menarik ialah mengadakan saingan Roland Garros dengan kehadiran penonton seramai mungkin.

"Bagaimanapun, semua bergantung kepada keadaan kesihatan ketika itu, kami juga akan menyesuaikan diri dengan arahan yang diberikan oleh kerajaan kepada kami. Kerajaan akan membuat keputusan berapa ramai yang boleh berada di kejohanan itu," kata Giudicelli yang melakukan sidang video bersama pemain tenis Perancis, Gael Montfils.

Giudicelli berkata, penganjur tidak mahu untuk mengadakan kejohanan tanpa penonton kerana Roland Garros sama seperti kejohanan utama lain, adalah pertemuan di antara pemain dengan penonton.

"Apa yang ada pada kejohanan ini ialah magis," katanya.

Saingan tenis profesional dihentikan sejak Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.

Wimbledon terpaksa dibatalkan terus dan Terbuka Amerika Syarikat masih lagi sedang melakukan penyusunan semula jadual, kerana penganjur berhasrat untuk memindahkanya keluar dari New York.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 9:58 AM