PEMAIN negara terputus hubungan dengan dunia luar sepanjang tempoh kuarantin.
PEMAIN negara terputus hubungan dengan dunia luar sepanjang tempoh kuarantin.
Firdaus Hashim


SKUAD Harimau Malaya bakal 'disembunyikan' untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu bagi membendung dan menjamin kesihatan skuad kendalian Tan Cheng Hoe benar-benar bebas daripada wabak Covid-19.

Ia sekali gus menyaksikan pemain negara tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar selama tempoh berkenaan termasuk tidak boleh berjumpa ahli keluarga sebaik menyertai kem latihan pasukan yang dijangka dijalankan bagi menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober nanti.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, cadangan berkenaan atau lebih tepat 'Quarantine Base Camp' dimasukkan ke dalam kertas kerja untuk dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelasnya, elemen itu adalah salah satu prosedur operasi standard (SOP) penting buat semua pemain kebangsaan.

"Salah satu SOP yang kita bincangkan dan letakkan dalam kertas kerja kepada MKN adalah pemain akan dikenakan 'Quarantine Base Camp' selama beberapa hari.

"Ini bermakna pemain tidak boleh keluar atau berhubung dengan dunia luar bagi memastikan kesihatan mereka terjamin.

"Di mana lokasi itu kita masih menelitinya namun apa yang lebih penting adalah kita mahu mendapatkan kebenaran MKN dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) terlebih dulu bagi membolehkan pasukan mengadakan latihan nanti," katanya.

Pasukan kebangsaan yang kini dalam misi untuk melayakkan diri ke peringkat ketiga Kelayakan Piala Dunia dan pusingan akhir Piala Asia bakal berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Oktober di Dubai sebelum kembali ke tanah air menentang Vietnam lima hari kemudian.

Ditanya adakah cadangan itu mendapat persetujuan pemain terlebih dulu, Stuart mengakui pemain boleh menolak untuk menyertai kem latihan dengan syarat perlu mengadakan perbincangan bersama jurulatih negara.

"Jika pemain menolak kerana tak mahu dikuarantin, mereka kena berhubung dengan jurulatih. Mungkin kita boleh memanggil pemain lain untuk mengisi ketiadaan pemain itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 9:56 PM