SANCHO jaring hatrik benam Paderbon. FOTO Agensi
SANCHO jaring hatrik benam Paderbon. FOTO Agensi
Agensi

REAL Madrid dilaporkan memantau penuh minat situasi bintang muda Dortmund, Jadon Sancho dan bersedia menyediakan bajet besar untuk mendapatkannya tahun depan jika dia tidak meninggalkan kelab Jerman pada musim panas ini.

Sancho, 20, yang sekali lagi menyinar di Bundesliga menjaringkan hatrik ketika membelasah Paderborn 6-1 pada Ahad lalu untuk jaringan ke-17nya musim ini.

Dia turut membuat 16 bantuan jaringan sekali gus menarik minat Manchester United, Liverpool dan Chelsea yang sedia menimbangkan harga £100 juta (RM535 juta) untuk mendapatkan khidmatnya.

Susulan pandemik koronavirus, prospek perpindahan Sacho mencetuskan keraguan dan menurut laporan akhbar Sepanyol, AS, Madrid sedia menunggu sehingga musim panas tahun depan bagi mendapatkan pemain muda itu.

Tajuk muka hadapan AS semalam: 'Awas kehadiran Sancho', dan dia mungkin pemain berprofil tinggi terkini ditandatangani gergasi La Liga.

Pengurus Madrid, Zinedine Zidane mahu mencari satu lagi pilihan di bahagian serangan selepas Luka Jovic yang dibeli musim lalu kurang menyerlah dan Eden Hazard bergelut dengan kecederaan.

Ketika Sancho tampak menikmati kariernya di Jerman, dipercayai suatu hari nanti dia pasti mahu mencuba kemampuan di Liga Perdana dan La Liga. Ketika itulah tawaran lumayan Madrid sukar ditolak.

Bagaimanapun, United kekal kelab Inggeris yang mendahului persaingan mendapatkan Sancho dan bekas pertahanan mereka, Wes Brown memberikan pandangan mengenai perpindahan pemain itu di MUTV.

"Kami perlukan seseorang seperti dia di kelab," kata Brown. "Saya yakin jika kami dapat menandatangani Sancho, dia akan membawa kembali kegembiraan kepada kelab."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 8:05 PM