PEMAIN Hockademy masih belum mendapat hadiah wang kemenangan selepas muncul juara liga wanita pada Februari lalu.
PEMAIN Hockademy masih belum mendapat hadiah wang kemenangan selepas muncul juara liga wanita pada Februari lalu.
Saiful Affendy Sapran


KEGAGALAN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyelesaikan pembayaran wang kemenangan bukan saja mencetuskan rasa kurang senang kelab Hockademy tetapi beberapa pasukan lain yang beraksi di Liga Hoki Malaysia (LHM) musim lalu.

Satu sumber daripada pengurusan pasukan yang sepatutnya memperoleh wang kemenangan berkata, seperti Hockademy, pihaknya juga tidak berpuas hati dengan pengurusan MHC yang masih gagal menjelaskan pembayaran wang kemenangan itu.

"Memanglah kami pun tak puas hati kerana aksi liga berakhir Februari lalu tapi sehingga kini MHC masih gagal berikan wang kemenangan. Pemain sudah beberapa kali bertanya kepada pihak pengurusan termasuklah yang terakhir sebelum sambutan Hari Raya.

"Mungkin mereka mahu menggunakan wang itu untuk persiapan Aidilfitri. Tapi kami di pihak pengurusan tak dapat berbuat apa-apa dan hanya meminta mereka bersabar. Situasi ini sekali gus menjejaskan imej kami di pihak pengurusan sedangkan ia bukanlah salah kami," katanya.

Jelas sumber lagi, sepanjang pengalamannya menguruskan pasukan sejak beberapa tahun lalu, situasi yang dihadapi kali ini adalah paling buruk.

"Sebelum ini pun MHC ambil masa satu dua bulan juga untuk buat bayaran. Itu pun bila kami bertanya barulah mereka segerakan untuk buat bayaran. Tapi kali ini paling lama tertangguh dan kami sendiri tak pasti bilakah mereka akan membayar wang kemenangan itu," katanya.

Hockademy sebelum ini menuntut hadiah kemenangan keseluruhan berjumlah RM65,000 daripada MHC selepas muncul juara liga wanita dan naib juara Piala Vivian Soars apabila tewas 1-2 kepada PKS Uniten pada aksi final.

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula muncul juara Liga Perdana lelaki manakala tempat kedua milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan ketiga Pasukan Hoki Terengganu (THT).

UniKL di bawah bimbingan Arul Selvaraj juga muncul juara Piala TNB selepas menewaskan THT 2-1 pada aksi final.

Kejayaan muncul juara liga dan Piala TNB menyaksikan UniKL sepatutnya memperoleh hadiah kemenangan keseluruhan berjumlah RM200,000. Aksi liga bagi kedua-dua pasukan lelaki dan wanita berakhir 22 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 10:23 PM