LIU Ying berlatih bersendirian sepanjang tempoh PKP.
LIU Ying berlatih bersendirian sepanjang tempoh PKP.
Saiful Affendy Sapran


PEMAIN beregu campuran negara, Goh Liu Ying menganggap keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membenarkan pemain profesional menyertai program Road To Tokyo (RTT) lebih lewat berbanding tarikh asal 1 Jun sesuatu yang baik untuknya serta pasangan, Chan Peng Soon.

Kumpulan pertama sudah pun mendaftar diri bermula 1 Jun lalu di Akademi Badminton Malaysia (ABM), namun bagi pemain profesional yang terpilih, BAM memaklumkan kepada mereka untuk mendaftar bermula 15 Julai.

Jelas Liu Ying, situasi semasa sememang menyukarkannya serta Peng Soon untuk menyertai kem latihan bermula 1 Jun kerana rakan gandingannya itu baru saja menyambut kelahiran anak keempat, bulan lalu.

"Peng Soon ketika ini memerlukan masa untuk menjaga isteri dan anaknya, jadi agak susah sedikit jika kami menyertai kem latihan ketika ini," katanya.

Jelas LiuYing, 15 Julai adalah tarikh sesuai untuknya serta Peng Soon mendaftar diri di BAM.

"Saya serta Peng Soon sememangnya mahu kembali berlatih di atas gelanggang. Setakat ini kami hanya berlatih secara bersendirian dan belum pernah berlatih di atas gelanggang.

"Selain itu, kami juga menjalani latihan dengan bermain tenis untuk mengekalkan tahap kecergasan. Apapun kami akan melihat beberapa perkembangan terkini daripada BAM seperti apakah SOP (prosedur operasi standard) yang perlu kami patuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 10:44 PM