JERSI baharu Real Madrid musim depan. FOTO Agensi
JERSI baharu Real Madrid musim depan. FOTO Agensi
Agensi

JERSI baharu Real Madrid untuk aksi di tempat sendiri musim depan nampaknya tidak disenangi penyokong mereka.

Corak belang harimau berwarna merah jambu pada kedua-dua lengan jersi mengundang nada sinis mereka dengan ada yang mendakwa gergasi La Liga itu mendapat inspirasi daripada siri Netflix popular Tiger King.

FootyHeadlines mendedahkan imej jersi itu hari ini yang dipercayai bakal dipakai Madrid musim depan. Warna tradisi putih masih dikekalkan tetapi dengan tambahan corak belang harimau merah jambu dan biru gelap di hujung kedua-dua lengan.

Tiga jalur Adidas memanjang ke bawah turut merah jambu selain kolar berbentuk V dan jersi tertera tagline baharu Emirates 'Fly Better' di depan.

Bagaimanapun, penyokong Madrid berbeza pendapat sama ada corak belang haiwan itu sesuai atau tidak dengan reputasi kelab.

Salah seorang penyokong di Twitter berkata: "Real Madrid akan menjadi seperti Tiger King musim depan."

Seorang lagi berpendapat: "PSG dan Barca mendapat jersi seperti bom manakala Real Madrid hanya mendapat belang harimau merah jambu."

Seorang penyokong yang jelas tak tertarik dengan jersi baharu itu berkata: "Orang ini benar-benar mahu Barca menang satu lagi treble."

Tetapi ada yang mempunyai pendapat berbeza. "Sangat menarik"

Ia kali kedua dalam sejarah jersi Real Madrid terdapat corak merah jambu selepas warna sama di atas jersi tempat lawan pada kempen 2014/15.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 11:30 PM