Roberto Carlos (kanan) bergandingan dengan Ronaldo dalam skuad Brazil. FOTO Agensi
Roberto Carlos (kanan) bergandingan dengan Ronaldo dalam skuad Brazil. FOTO Agensi
Agensi

LEGENDA Brazil, Ronaldo adalah antara penyerang terhebat sepanjang zaman.

Aksi permainannya sering menyulitkan benteng pertahanan lawan ketika kemuncak karier di mana dia berjaya merangkul dua trofi Ballon D'Or dan menjulang Piala Dunia 2002.

Pemain berusia 43 tahun menyerlah dalam kedua-dua gergasi El Clasico, Real Madrid dan Barcelona malah sebahagian daripada rakan sepasukannya mendedahkan apa yang membuatkan dirinya diiktiraf pemain kelas dunia sebenar.

Ramai pasti ingat gaya rambut pelik yang diperagakan pada Piala Dunia 2002 namun aksi terpuji dipamerkan Ronaldo di padang mendapat perhatian selain membolehkannya merangkul anugerah Kasut Emas.

Mereka yang beraksi disamping salah seorang ikon sukan itu mengagumi kepantasannya, kebolehan dan cara dia mengejutkan lawan menerusi jaringan menariknya.

Ronaldo mencium trofi Piala Dunia 2002 dimenangi bersama Brazil. FOTO Agensi
Ronaldo mencium trofi Piala Dunia 2002 dimenangi bersama Brazil. FOTO Agensi

Bercakap kepada Marca, rakan senegara dan kawan rapat Ronaldo, Roberto Carlos tidak pernah meragui kebolehan pemain itu.

Katanya : "Saya mengenali Ronnie sejak 1993, apabila kami mula bermain bersama, saya mengambil bahagian dalam hampir semua yang Ronaldo capai sepanjang kariernya dalam tempoh itu.

"Ketika dia di Inter, saya selalu bercakap dengannya bagaimana permainannya dan dia akan berkongsi apa saja masalah bersama saya.

"Dalam skuad Brazil kami banyak berkongsi masa bersama, kami berkongsi bilik di setiap aksi antarabangsa bersama negara.

Carlos baru-baru ini mendakwa bintang bola sepak seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi tidak mampu menyamai pencapaian 'unik' legenda Brazil itu.

Pemain pertahanan kiri dan Ronaldo adalah sebahagian daripada pemain pasukan Madrid Galacticos selama lima tahun antara 2002-2007.

Tambah Carlos : "Kami sentiasa bertemu antara satu sama lain, saya mungkin selesai jalani latihan dan pergi ke rumahnya atau dia akan datang bertemu saya, kami kerap meluangkan masa bersama.

"Dia penyerang terbaik dalam dunia, dia memberikan kami keyakinan tinggi. Cara utama untuk menghalangnya adalah elakkan dia daripada mendapat bola."

Ronaldo bersara dari bola sepak pada 2011 selepas kembali ke negaranya untuk beraksi bersama kelab Brazil, Corinthians.

Dia kini pemilik dan presiden kelab Sepanyol, Real Valladolid.

Bulan lalu dia menyenaraikan Cristiano Ronaldo daripada senarai lima pemain terbaik ketika ini yang diminati, dengan Lionel Messi berada di nombor satu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 10:40 AM