Son kongsi pengalaman jalani latihan ketenteraan. FOTO Agensi
Son kongsi pengalaman jalani latihan ketenteraan. FOTO Agensi
Agensi

BINTANG Tottenham, Son Heung-Min menyifatkan perkhidmatan ketenteraan yang disertai baru-baru ini adalah 'sangat sukar' dan menambah dia hampir berada pada kemuncak kecergasan untuk memulakan kembali saingan Liga Perdana Inggeris.

Penyerang berusia 27 tahun menjalani latihan asas ketenteraan selama tiga bulan di Korea Selatan pada April, selepas pulih daripada kecederaan patah lengan.

"Ia tempoh tiga bulan yang sangat sibuk," kata Son kepada laman web Spurs.

"Saya tidak tahu bagaimana orang lain memikirkan mengenai saya, tapi pada saya tiga minggu sudah cukup lama, tetapi ia pengalaman yang bagus.

Tambahnya : "Saya tidak boleh memberitahu semuanya yang sudah saya lakukan tapi saya sangat seronok. Mereka sangat baik. Tempohnya sangat sukar tapi saya cuba menjadi ia menyeronokkan.

"Hari pertama apabila kami tidak mengenali antara satu sama lain agak janggal namun kemudian kami dapat mengenali antara satu sama lain.

Son mengalami kecederaan lengan pada pertengahan Februari, sebulan sebelum Liga Perdana Inggeris ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Pengurusnya, Jose Mourinho sebelum ini bimbang ketika gandingan serangannya Harry Kane dapat beraksi semula musim ini, tetapi kini kedua-dua gandingan itu dijangka menjadi sebahagian daripada tonggak pasukan yang meletakkan sasaran layak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.

Berbaki sembilan perlawanan dan ketika ini Spurs ketinggalan tujuh mata dari pasukan di tempat keempat Chelsea.

"Saya sudah pulih sepenuhnya. Saya berusaha sangat keras untuk berada pada peringkat kemuncak prestasi dan hampir di sana," tambah Son.

"Kini kami boleh menjalani latihan berpasukan, kami menjalani latihan lebih gigih daripada dua minggu lalu dan pemain - Moussa [Sissoko], Harry [Kane], Stevie [Bergwijn] sudah kembali, semua orang mahu bermain semula dan mempunyai motivasi tinggi."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 11:45 AM