SYAFIQ tonggak utama Harimau Malaya. FOTO Eizairi Shamsudin
SYAFIQ tonggak utama Harimau Malaya. FOTO Eizairi Shamsudin
Syazwan Msar


SANGGUP belajar daripada pemain lebih muda. Itu antara perkara yang dilakukan Mohamadou Sumareh sebaik melihat rakan sepasukannya di Harimau Malaya, Syafiq Ahmad antara pemain berbakat yang mempunyai sepakan unik untuk menjaringkan gol.

Walaupun Syafiq lebih muda daripadanya, Sumareh tidak mahu bersikap sentiasa mendongak ke langit, sebaliknya sedia mendalami ilmu bersama pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bagi mempertajamkan lagi teknik atau kemahirannya.

Sumareh berkata, Syafiq memiliki kemahiran tinggi dan sentiasa berada di situasi yang tepat untuk melakukan penyudah berbisa ketika beraksi bersama Harimau Malaya.

Malah teknik sepakan Syafiq itu antara perkara yang dilihat tiada pada pemain lain seterusnya meminta untuk mengajarnya supaya dapat diterjemahkan menerusi jaringan gol terutama ketika mewakili Harimau Malaya.

"Saya melihat sepakan Syafiq ada kelainan iaitu begitu padu dan melencong seterusnya sukar untuk penjaga gol menangkapnya.

"Melihat kepada situasi itu, saya memintanya mengajar teknik berkenaan dan selepas beberapa kali mencuba ternyata berhasil terutama ketika menjaringkan gol pertama menentang Indonesia pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, September tahun lalu.

"Sebagai pemain kita jangan terlalu sombong dan perlu belajar daripada mereka yang mempunyai kemahiran tinggi bagi memastikan sentiasa berada pada tahap optimum," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Pada perlawanan itu, tonggak skuad Pahang itu mempamerkan aksi cemerlang apabila menjaringkan dua gol seterusnya memastikan kemenangan berpihak kepada Harimau Malaya 3-2.

Sementara itu, Sumareh berkata, ketika ini tumpuannya adalah memastikan kemampuannya berada pada tahap terbaik terutama lebih bersedia menghadapi saingan Liga Malaysia dan perlawanan bersama Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 11:19 PM