Messi jalani latihan individu. FOTO Agensi
Messi jalani latihan individu. FOTO Agensi
Agensi

LIONEL Messi bergelut mengejar masa untuk kembali pulih daripada kecederaan otot paha sebelum aksi pertama Barcelona sejak saingan bola sepak ditangguh kerana pandemik Covid-19.

Bintang kelahiran Argentina yang juga kapten Barcelona dan antara pemegang rekod penjaring terbanyak La Liga itu dilihat berlatih secara bersendirian dari pasukan semalam.

Barcelona menjelaskan kecederaan yang dialami Messi pada otot kaki tidak begitu serius dan dia melakukan senaman khas bagi mengelak daripada kecederaan itu bertambah teruk.

Pendahulu La Liga itu dijadualkan menyambung kempen yang terganggu berkenaan di Mallorca pada 13 Jun.

Barcelona memberitahu, "Messi dijangka dapat berlatih bersama rakan sepasukannya dalam beberapa hari lagi".

Kelab Catalan itu turut memaklumkan penyerang muda, Ansu Fati turut berlatih secara individu semalam.

Dalam pada itu, skuad utama akan meninggalkan tempat latihan hari ini untuk sesi latihan di padang Nou Camp.

Menurut laman web Barcelona, pemain akan menuju ke stadium dengan tujuan untuk membiasakan diri bermain di depan tempat kosong, memandangkan perlawanan akan berlangsung dalam keadaan tertutup apabila bola sepak kompetitif kembali bersambung di Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 1:33 PM