BEASLEY (tengah) bersama pelumba basikal negara, Azizulhasni (kanan) dan Muhammad Nur Aiman Rosli.
BEASLEY (tengah) bersama pelumba basikal negara, Azizulhasni (kanan) dan Muhammad Nur Aiman Rosli.
Ferzalfie Fauzi


JURULATIH berbasikal trek negara, John Beasley mendedahkan beliau berasa takut untuk menerima tawaran melatih skuad negara pada 2006.

Beliau yang kini sudah 14 tahun bersama skuad trek negara, mengakui pada mulanya agak gementar untuk mencuba nasib mengembangkan karier kejurulatihan di Malaysia dan sudah terbayang akan pulang semula ke negara kelahirannya, Australia.

"Sebenarnya saya tidak tahu mengenai Malaysia memerlukan jurulatih, isteri saya yang memberitahu saya. Saya berasa sangat takut untuk mengembangkan karier di Malaysia," katanya dalam satu temubual di YouTube di saluran Speedster Coaching hari ini.

Ujarnya, sebelum terbang ke Malaysia, beliau sudah bergelumang dengan beberapa pelumba berprofil tinggi di Australia dan tidak mengetahui lanskap berbasikal di Malaysia.

"Saya juga tidak mengenali pelumba Malaysia ketika itu kecuali Josiah Ng. Saya berfikiran keputusan yang saya buat ini satu kesilapan dan berakhir dengan kekecewaan seterusnya pulang kembali ke Australia mengusahakan perniagaan keluarga di sana.

"Ketika itu Josiah sangat memerlukan jurulatih dan agak bertuah beliau memilih saya. Saya bermula dengan mengenali Josiah sebelum berkenalan dengan pelumba pecut yang lain," katanya.

Beasley mengakui selepas melihat bakat yang ada, beliau hanya melakukan tugas dengan menggilap pelumba mengikut perancangan ditetapkan.

"Seperti tugasan lain kontrak diberikan dua tahun dan saya ingat setakat itu saja dan akan pulang ke Australia, rupanya saya kekal lama di sini.

"Ia sama seperti perkahwinan, masing-masing sudah mula jatuh cinta. Saya hanya perlu bekerja keras dan saling menghormati antara satu sama lain. Pelumba menghormati saya, saya menghormati pelumba," katanya.

Selepas tiga tahun di Malaysia, Beasley membuktikan kehebatannya membantu skuad berbasikal trek negara meraih dua pingat di Kejohanan Dunia di Pruszkow, Poland.

Beliau sekarang ini mempunyai misi lebih besar iaitu merealiasikan impian Azizulhasni Awang meraih emas sulung Olimpik negara di Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 6:00 PM