HAMILTON (kiri) dan Vettel turut menjadi sebutan antara perseteruan Ferrari, Mercedes. FOTO EPA
HAMILTON (kiri) dan Vettel turut menjadi sebutan antara perseteruan Ferrari, Mercedes. FOTO EPA
Agensi

BOS Ferrari, Mattia Binotto menempelak Mercedes mengenai komen mereka terhadap pemandu pasukannya, dengan menasihatkan seteru mereka itu supaya jaga tepi kain sendiri.

Ia berhubung dengan keputusan Scuderia Mei lalu yang membuat keputusan untuk berpisah dengan juara dunia Formula Satu (F1) empat kali itu, Sebastian Vettel pada hujung musim ini.

Mendengar keputusan berkenaan, bos Mercedes, Toto Wolff meluahkan perasaan terkejut kerana pasukan lawannya itu membuat keputusan sedangkan saingan musim ini masih belum bermula.

Bertanya mengenai komen berkenaan dalam temuramah bersama La Stampa, Binotto menerangkan keputusan itu dibuat dengan mempertimbangkan apa yang bermain di fikiran pemandunya.

Beliau mengakui Wolff sendiri pun tidak bertindak dengan betul terhadap pemandunya sendiri.

"Berhubung dengan keputusan pemandu kami, saya gembira Mercedes sentiasa mempunyai pandangan mengenai kami.

"Saya terkejut mereka belum menandatangani kontrak dengan Hamilton. Kami akan melakukannya tidak lama lagi. Kami membuat keputusan ini dengan telus terhadap Seb.

"Dia perlu memikirkan masa depannya, kami tidak boleh menagguhkan keputusan. Pilihan kami sangat adil kepadanya. Jika Seb mahu ke Mercedes, saya gembira di atas keputusannya itu. Dia adalah juara dunia sebanyak empat kali dan berhak ke pasukan terbaik dunia," kata Binotto.

Dalam pada itu, beliau mengkritik keputusan Wolff untuk menentang percubaan kelayakan grid terbalik dalam perlumbaan di Austria dan Britain, tatkala kebanyakan pasukan sudah bersedia untuk menggunakan pendekatan itu.

"Saya kecewa, kami terlepas peluang terbaik. Jika anda berlumba di Grand Prix (GP) yang sama dua kali berturut-turut, seperti di Austria dan England, risikonya ialah perlumbaan kedua akan sama berulang seperti perlumbaan pertama.

"Saya minta maaf tapi kita semua sudah berkrompomi ketika tempoh ini. Kami memikirkan format yang berbeza, iaitu mengadakan perlumbaan grid terbalik dan sembilan daripada 10 pasukan termasuk Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bersetuju mengenai idea itu.

"Hanya satu pasukan saja yang menolak idea berkenaan. Ia sangat memalukan buat peminat dan juga sukan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 1:58 PM