SUFFIAN mengakui Pahang tiada masalah untuk mematuhi segala peraturan ditetapkan kerajaan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
SUFFIAN mengakui Pahang tiada masalah untuk mematuhi segala peraturan ditetapkan kerajaan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG


SKUAD Pahang hanya menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum memulakan latihan.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, ia sebagai persediaan menyambung kembali Liga Malaysia (Liga M) yang tertangguh sejak Mac lalu.

"Pahang tiada masalah untuk mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kerajaan.

"Pematuhan SOP akan diberi perhatian serius kerana sukan bola sepak membabitkan jumlah pemain yang ramai di padang dan turut membabitkan sentuhan fizikal.

"Segalanya kini bergantung kepada SOP yang akan diumumkan MKN dan KKM," katanya.

Mengulas pemantauan daripada segi tahap kecergasan pemain Tok Gajah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu, Mohammed Suffian mengesahkan ada menghubungi beberapa pemain untuk memastikan faktor kecergasan diutamakan.

Katanya, setakat ini, semua pemain memberikan komitmen tinggi dalam mengekalkan stamina masing-masing.

"Ini kerana sebaik sahaja sesi latihan bersama pasukan dibenarkan, mereka sudah bersedia dan tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri selepas lebih tiga bulan tidak bersama sejak pelaksanaan PKP.

"Jika saingan Liga M dibenarkan pada September depan, semua pemain akan berada pada prestasi yang terbaik untuk membentuk kembali pasukan yang lebih mantap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 2:06 PM