BOLA sepak antara acara sukan yang masih tidak dibenarkan berlangsung secara terbuka di depan penonton ramai. FOTO Bernama
BOLA sepak antara acara sukan yang masih tidak dibenarkan berlangsung secara terbuka di depan penonton ramai. FOTO Bernama
Syazwan Msar


HARAPAN menggunung untuk bola sepak kembali beraksi dalam waktu terdekat tidak kesampaian apabila acara sukan berkenaan masih lagi tidak dibenarkan berlangsung walaupun tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat tamat pada 9 Jun ini.

Ini bermakna, peminat bola sepak tanah air perlu menunggu lebih lama lagi sebelum ia dibenarkan untuk beraksi kerana sukan berkenaan masih dikategorikan sebagai berisiko dijangkiti pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pengumuman khas perintah kawalan pergerakan (PKP) hari ini berkata, bola sepak, ragbi, tinju, gusti, bola keranjang dan hoki tidak diberikan lampu hijau setakat ini.

"Beberapa jenis sukan dan rekreasi dibuka semula dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk latihan persediaan.

"Masih tidak dibenarkan adalah pertandingan sukan atau permainan membabitkan perhimpunan penyokong atau penonton ramai seperti stadium, sukan renang dan kolam renang awam dan sukan bersentuhan seperti ragbi, tinju, bola sepak, gusti, bola keranjang dan hoki," katanya, di sini.

Sebelum itu, kerajaan sudah mengumumkan bahawa sebarang bentuk perhimpunan atau penganjuran acara yang dihadiri ramai orang akan terus kekal tidak dibenarkan walaupun PKP ditamatkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini kerajaan masih mengekalkan prosedur SOP bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

"SOP yang kita keluarkan pengumpulan atau sebarang perhimpunan yang dihadiri ramai orang tidak dibenarkan.

"(Misalnya perlawanan) Bola tidak boleh main seorang diri mesti ada pasukan maknanya 22 orang jadi kemungkinan berlaku kontak fizikal antara satu sama lain.

"Jadi berdasarkan SOP, kita juga tak benarkan perlawanan bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 5:36 PM