SILVA lapan musim bersama PSG. FOTO Agensi
SILVA lapan musim bersama PSG. FOTO Agensi
AFP

KAPTEN Paris Saint-Germain, Thiago Silva bakal meninggalkan juara Perancis pada musim panas ini selepas lapan musim bersama kelab, menurut media tempatan.

Pemain antarabangsa Brazil berusia 35 tahun itu tidak ditawarkan kontrak lanjutan selepas tamat kempen Liga Juara-Juara dan keputusan mengenainya sudah disampaikan pengarah sukan, Leonardo.

PSG yang dalam langkah mengurangkan jumlah bayaran gaji yang besar berdepan kerugian 200 jura euro (RM964 juta) selepas musim Ligue ditamatkan April lalu susulan pandemik koronavirus.

Silva yang menyertai PSG dari AC Milan pada 2012, mungkin kembali ke negaranya dan menyertai bekas kelab, Fluminense selepas dia didapati memakai baju Fluminense yang tertera namanya di belakang sambil memegang kad ahli pada Ahad lalu.

Silva membantu PSG menjuarai Ligue 1 tujuh kali, empat Piala Perancis dan lima Piala Liga Perancis.

PSG mara ke suku akhir Liga Juara-Juara musim ini sebelum kejohanan ditangguhkan pada Mac manakala Fifa mengesyorkan pemain yang tamat kontrak dilanjutkan sehingga tamat kempen sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 7:52 AM