X
FYA Arissa sandaran emas Negeri Sembilan di Sukma Johor. FOTO Mohd Amin Jalil
FYA Arissa sandaran emas Negeri Sembilan di Sukma Johor. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


SELEPAS terpaksa menarik diri daripada menyertai Sukan Malaysia (Sukma) edisi sebelum ini kerana kekangan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), pemanah Negeri Sembilan, Fya Arissa Baharom, berharap dapat beraksi pada Sukma 2020 di Johor, Mac tahun depan.

Pada Sukma 2018 di Perak, Fya Arissa, 17, menarik diri daripada mewakili pasukan kerana menghadapi PT3 dan kali ini, dia mahu terus fokus kerana mahu menyumbang sesuatu yang terbaik buat Negeri Sembilan.

Pemenang pingat emas acara individu pada Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 itu akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini, namun sudah bersedia untuk menghadapi kedua-duanya iaitu sukan dan pelajaran.

"Saya berharap dapat beraksi pada Sukma kali ini di Johor selepas tidak berpeluang pada edisi di Perak sebelum ini, biarpun tersenarai mewakili pasukan kerana kekangan peperiksaan.

"Saya ingin menyumbang pingat emas kepada Negeri Sembilan dan yakin dapat melakukan persembahan terbaik serta merangkul pingat pada temasya itu nanti," katanya di sini, hari ini.

Fya Arissa yang mula terbabit dalam sukan itu ketika berusia 10 tahun pernah merekodkan pencapaian peribadi terbaik apabila mengumpul 310 mata untuk meraih pingat emas pada suatu kejohanan jemputan antarabangsa di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2018.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi (SMKSP) Senawang Negeri Sembilan itu berkata, dia berharap dapat memulakan latihan secepat mungkin di gelanggang SMKSP, bagi mendapatkan semula rentak terbaik, selepas hanya berlatih di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, dia akui lega apabila kerajaan memberi kebenaran untuk sukan memanah kembali aktif melakukan latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan (PKPP) yang bermula esok.

"Ketika ini, saya sedang menunggu arahan daripada pihak pengurusan pasukan dan jurulatih, mengenai persiapan dan jadual latihan selanjutnya selepas latihan sebelum ini terhenti bermula 18 Mac lalu," katanya.

Sementara itu, jurulatih memanah Sukma Negeri Sembilan, Mohad Nanzeri Md Karim berkata, Fya Arissa adalah antara prospek utama untuk meraih pingat emas di Johor nanti.

Katanya, atlet itu pernah ditawarkan untuk menganggotai skuad pelapis memanah kebangsaan tahun lalu, tetapi dia belum bersedia kerana mahu menumpukan perhatian kepada peperiksaan SPM terlebih dulu.

"Fya Arissa adalah atlet yang berbakat dan berpotensi untuk meningkat naik, justeru kami menyandarkan harapan dia untuk mendapatkan pingat emas pada Sukma di Johor nanti dan yakin dia berkemampuan untuk memberikan persembahan terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 8:33 PM