HAMIDIN berkata pihaknya tidak mahu membuat penambahan pasukan dalam waktu terdekat. FOTO Azhar Ramli
HAMIDIN berkata pihaknya tidak mahu membuat penambahan pasukan dalam waktu terdekat. FOTO Azhar Ramli
Syazwan Msar


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan akan mengurangkan jumlah pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) atas faktor beberapa masalah 'lapuk' yang sering membelenggu persatuan setakat ini.

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, masalah kewangan yang dihadapi beberapa pasukan Liga M menyebabkan pihaknya tidak mahu membuat penambahan pasukan dalam waktu terdekat ini walaupun terdapat cadangan berbuat demikian.

Beliau berkata, kualiti adalah perkara yang harus dititik beratkan terutama menyelesaikan masalah kewangan yang sering melanda pasukan Liga M.

"Kekangan kewangan memberi kesan pada MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Saya bukan lagi untuk lebihkan tapi mungkin kurangkan (pasukan) tapi setakat ini kita akan kekalkan 12 pasukan Liga Super dan Liga Premier.

"Kita akan kekalkan, untuk tambah jumlah ketika ini tidak mungkin kerana mahu jaga kualiti yang banyak menghadapi masalah kewangan," katanya, ketika menjawab soalan yang dikemukakan peminat bola sepak di Facebook FAM menerusi ruangan 'Anda Tanya, Presiden Jawab itu'.

Berkaitan masalah dihadapi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang berdepan tuntutan daripada bekas pemain importnya, Francisco Cassio de Jesus dan Bruno Lopez masing-masing berjumlah RM629,620.28 dan RM141,103.60, FAM berusaha membantu persatuan itu keluar daripada kemelut berkenaan.

"Pihak saya dan sekretariat sudah berhubung dengan Kelantan dari dulu lagi. Presiden KAFA sudah berusaha keras menyelesaikannya namun pokoknya di sini adalah membabitkan kes dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terlampau banyak untuk diselesaikan.

"Kita berharap Kelantan dapat selesaikan perkara itu. Ini salah satu perkara utama FAM membabitkan ahli gabungan yang menghadapi kemelut kewangan terutama dengan FIFA kerana keputusan badan induk bolasepak antarabangsa itu adalah mandatori dan perlu patuh," katanya.

Sebagai rekod, KAFA berdepan dengan sekurangnya lapan kes yang sudah dikemukakan kepada FIFA membabitkan tuntutan lebih RM2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 10:45 PM