Roger Federer. FOTO File Agensi
Roger Federer. FOTO File Agensi
AFP

JUARA 20 kali perseorangan Grand Slam, Roger Federer berkata dia mungkin berehat hingga 2021 selepas menjalani pembedahan lutut buat kali kedua dalam tempoh beberapa bulan.

Bintang Switzerland berusia 38 tahun itu berkata, dia perlu menjalani rawatan susulan daripada pembedahan lutut yang dilakukan beberapa minggu lalu ia susulan pembedahan daripada kecederaan yang sama pada Februari.

Federer yang kali terakhir memenangi kejuaraan Grand Slam di Terbuka Australia pada 2018 memberitahu, dia kembali mengalami kecederaan yang teruk ketika dalam tempoh pemulihan.

"Saya merancang untuk memanfaatkan tempoh rehat seterusnya kembali bersedia 100 peratus untuk beraksi di peringkat tertinggi," katanya menerusi kenyataan di Twitter.

"Saya akan merindui peminat saya dan sudah pasti aksi jelajah tapi saya merancang untuk kembali menemui semua orang pada jelajah permulaan musim 2021.

Pengumuman berkenaan seolah-olah menguatkan spekulasi mengenai persaraan Federer, yang memegang rekod kejuaraan perseorangan lelaki Grand Slam dan bulan lalu dinamakan antara atlet yang menerima pendapatan tinggi.

Federer memenangi kejuaraan trofi utama pada 2003, berada di depan pencabar sengit, Rafael Nadal (19) dan Novak Djokovic (17) dalam senarai antara pemain hebat sepanjang zaman.

Selepas beberapa pembedahan penting, Federer sudah bersedia dalam perancangan untuk kembali beraksi pada musim gelanggang rumput bulan ini yang dibatalkan.

Pertandingan terakhirnya adalah pada 30 Januari lalu pada saingan separuh akhir Terbuka Australia, di mana dia tewas kepada juara kejohanan, Djokovic.

Penampilan terakhir di atas gelanggang adalah di hadapan 51,954 peminat - yang diiktiraf penganjur sebagai antara rekod dunia dalam tenis - ketika perlawanan amal berdepan Nadal di Cape Town pada awal Februari.

Acara tenis tertangguh pada Mac lalu berikutan pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan menyebabkan sukan global berkenaan berdepan kesukaran untuk memulakan kembali saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 5:46 PM