SUBAHAN KAMAL
SUBAHAN KAMAL
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memaklumkan wang hadiah kemenangan TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) yang sebelum ini hangat diperdebatkan akan diserahkan kepada semua penerima dalam tempoh dua minggu selepas ia tertangguh beberapa bulan berikutan pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MHC kali keempat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Isu wang pembayaran itu dibangkitkan oleh Pemilik kelab Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang meluahkan kekecewaan selepas skuad Hockademy wanita yang menjuarai saingan Liga Hoki Wanita pada Februari lalu, masih belum meraih hadiah kemenangan RM50,000 serta tambahan RM15,000 selepas muncul naib juara Piala Vivian May Soars.

Pada sidang media berkenaan, Subahan turut mengesahkan beberapa penaja menyatakan persetujuan untuk meneruskan penajaan malah ada dikalangan mereka akan menambah nilai tajaan demi membangunkan sukan hoki negara biarpun wabak Covid-19 membantutkan perancangan badan induk berkenaan tahun ini.

Katanya, kesan daripada penularan wabak berkenan, hingga kini hanya satu kejohanan iaitu Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, India November ini diteruskan seperti dirancang yang mana Piala Dunia Remaja bagi lelaki dan wanita juga ditunda.

"Satu kejohanan itu saja diteruskan di peringkat antarabangsa selebihnya belum ada sebarang maklumat lanjut.

"Tapi untuk kejohanan tempatan saya akan pastikan Liga Hoki Remaja, Piala Razak bagi kategori bawah 14 dan 16 diteruskan tahun ini.

Bagaimanapun untuk Piala Razak yang membabitkan pemain bawah 14 dan 16 tahun ini kami akan berhubung dengan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) kerana membabitkan pelajar sekolah.

"Begitupun perancangan tetap perlu diteruskan sekurang-kurangnya untuk September, November dan Disember. Berhubung SOP (prosedur operasi standard) jangan bimbang MHC akan mematuhi SOP yang ditetapkan supaya saingan liga dapat dilangsungkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 6:01 AM